KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar tingkatan 4 maut akibat kecederaan parah di kepala dalam kemalangan di Kampung Sungai Ikan, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu, semalam.

Difahamkan mangsa, Syakir Shamsudin penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Pelong, Setiu yang maut di tempat kejadian membonceng motosikal bersama rakan dalam perjalanan dari Sungai Tong, Kuala Nerus menghala ke Kuala Terengganu, jam 5.50 petang.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu (KJSPT), Superintendan Abd Razak Hassan, berkata sebaik tiba di kawasan selekoh berhampiran Masjid Sungai Ikan, rakan mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 125 Z dikatakan cuba memotong sebuah Perodua Myvi di hadapannya.

“Ketika memotong, secara tiba-tiba datang sebuah MPV jenis Kia Carens dinaiki lima wanita dari arah bertentangan mengakibatkan penunggang motosikal itu, Muhammad Taufiq Usman, 19, cuba mengelak daripada bertembung.

“Bagaimanapun, ketika cuba untuk memotong pada kali kedua, motosikal terbabit hilang kawalan dan terbalik menyebabkan mangsa tercampak ke laluan kanan.

“Ketika jatuh, kepala mangsa terkena pada rim tayar belakang sebelah kanan Kia Carens menyebabkan bahagian kepala pecah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.

Penunggang motosikal yang juga pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai, Marang, mengalamai kecederaan patah kaki kiri dibawa ke hospital sama menggunakan ambulan hospital.

Abd Razak berkata, pemandu Kia Carens, Faizatu Afkhma Husni, 36, dari Kuantan serta empat penumpang termasuk kanak-kanak perempuan berusia enam tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber: Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here