KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata fokus kerajaan kini terarah kepada aspek urus tadbir negara khususnya membabitkan isu ekonomi dan masalah COVID-19 berbanding peralihan kuasa.

Beliau berkata, sehubungan itu semua pihak seharusnya menghormati hasil keputusan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) malam tadi yang menetapkan bahawa soal peralihan kuasa perdana menteri diserahkan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Usaha kepada urus tadbir negara sebaik mungkin, tetapi kita juga ada banyak masalah kerana kita dihadapi dengan kluster COVID-19 dan bagaimana cara kita menanganinya kerana ada rentetan ekonomi yang akan terkesan dengan negatif.

“Justeru kita akan memfokuskan kepada perkara itu… kita ada perjanjian bahawa akan ada peralihan yang sudah disepakati semalam dan kita tetapkan tarikhnya selepas APEC (Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Kayuhan Kasih Mesra, di sini.

Malam tadi, mesyuarat Majlis Presiden PH yang berlangsung hampir tiga jam, bersetuju sebulat suara bahawa peralihan kuasa perdana menteri ditentukan sepenuhnya oleh Dr Mahathir.

Selain Dr Wan Azizah yang juga Presiden PH, mesyuarat itu turut dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Sementara itu, program kayuhan sejauh 30 kilometer yang dianjurkan Kelab Basikal Komuniti Ampang (MCC) dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pandan disertai kira-kira 500 orang.

Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, dalam keadaan Malaysia bakal menghadapi status negara tua pada 2030, adalah penting untuk masyarakat menjadi komuniti yang aktif.

“Ini antara usaha kita dalam menjaga kesihatan kerana aspek kesihatan sangat penting berikutan kita akan menghadapi status negara tua, ” katanya.

Sumber: Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here