KUALA LUMPUR- Dengan peletakan jawatan Perdana Menteri, pengumuman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) keluar daripada Pakatan Harapan (PH) serta 11 Ahli Parlimen PKR keluar parti maka boleh dikatakan kerajaan Pakatan Harapan yang berusia 21 bulan itu sudah pun tumbang.

Meskipun di saat berita ini ditulis masih tiada pengumuman rasmi mengenai hala tuju Kabinet, semakin ramai menteri-menteri mengucapkan penghargaan dan terima kasih mereka kerana diberi kepercayaan menerajui kementerian masing-masing.

Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam satu kenyataan hari ini mengucapkan penghargaan dan permohonan maaf beliau kepada para petani, penternak dan nelayan.

Doanya, semoga nasib para petani, penternak dan nelayan semakin baik di bawah kepimpinan yang baharu nanti.

“Saya telah menghabiskan sepanjang hayat saya di MOA untuk memperjuangkan nasib petani, penternak dan nelayan. Sekiranya saya masih gagal, saya sekali lagi memohon sepenuhnya kemaafan anda semua.

“Saya mendoakan masa depan yang lebih baik untuk anda semua dan saya akan terus memperjuangkan nasib anda walaupun tidak lagi bersama kerajaan,” katanya.

Di samping itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad turut mengucapkan terima kasih dalam satu ciapan di Twitternya.

Beliau yang mengumumkan berita gembira mengenai dua lagi kes Covid-19 yang telah pulih sepenuhnya dan didiscaj memberitahu, ciapan tersebut adalah yang terakhir daripadanya sebagai Menteri Kesihatan.

“Alhamdulillah! Dua lagi kes Covid-19 pulih sepenuhnya dan discaj hari ini.

“Tiada kes positif baharu.

“Kes 14 dan kes 19 sebelum ini dirawat di Hospital Kuala Lumpur. Jumlah yang telah pulih sepenuhnya dan discaj hingga hari ini adalah 20 orang.

“Dua masih dirawat di wad dan stabil.

“Tweet saya terakhir sebagai YBMK. Terima kasih,” katanya.

Sumber: Malaysia Gazette

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here