SELEPAS lebih empat bulan ditahan di penjara atas pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya P Gunasekaren dan pemandu teksi V Balamurugan dilepas serta dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi berasingan di Kuala Lumpur.

Perintah itu dikeluarkan oleh Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh.

Ia selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Suffian Jaafar memaklumkan pihaknya mendapat arahan daripada Peguam Negara supaya tidak meneruskan prosiding terhadap kedua-dua tertuduh.

Mohamad Suffian berkata, arahan itu adalah mengikut Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah dan memaklumkan bahawa pihaknya tidak mempunyai alasan lain, oleh itu, terpulang kepada budi bicara mahkamah untuk membuat keputusan.

Muhammad Jamil yang mendengar salah satu daripada kes Gunasekaren, 61, berkata, mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk membuat keputusan.

“Memandangkan pendakwaan memohon untuk menghentikan prosiding terhadap tertuduh mengikut Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah dan tidak mempunyai alasan lain maka mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk membuat keputusan.

“Oleh itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya.

Mohd Nazlan dalam keputusannya juga melepaskan dan membebaskan Gunasekaren daripada pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE.

Terdahulu, peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Gunasekaren memberitahu mahkamah bahawa memandangkan pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan kes terhadap Gunasekaren, mereka memohon supaya tertuduh dilepas dan dibebaskan, bukannya dilepaskan tanpa dibebaskan.

“Dalam kenyataan media baru-baru ini, Peguam Negara Tan Sri Thommy Thomas memutuskan bahawa tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap mana-mana 12 tertuduh ke atas mana-mana 34 pertuduhan yang dihadapi mereka,” katanya.

Sumber: Harian Metro

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here