MENYEDIHKAN apabila seorang ustazah sebuah sekolah agama dipaksa merangkak dalam kelas oleh wanita dipercayai ibu kepada seorang murid.

Kisah itu mendapat perhatian warganet selepas rakaman video berdurasi dua minit 17 saat tular di laman sosial.

Rakaman itu dimuat naik seorang pengguna Facebook bernama Asmadi As-Ad Dimasyiqi bersama kapsyen ringkas yang menunjukkan rasa kesalnya atas apa yang berlaku.

“Cukup kurang ajar, sebagai parent (ibu bapa) awak telah menghancurkan hati semua guru di seluruh dunia. Haramkan setitik doa dan ilmu untuk anakmu.

“Mana Jabatan Pendidikan Malaysia, sila ambil tindakan buat insan ini. Kalau awak sendiri rasa tersangat hebat sila ambil masa seminggu handle (uruskan) sahaja untuk uruskan kelas, uruskan kerenah anak-anak murid,” katanya.

Menerusi rakaman berkenaan, kedengaran suara seorang wanita dipercayai ibu murid menerjah masuk ke dalam kelas untuk bertemu dengan ustazah terbabit.

Tanpa diketahui sebabnya, ustazah berkenaan tidak menunggu lama sebaliknya terus mengajak beberapa anak muridnya yang lain untuk mengikutnya merangkak. Kejadian itu disaksikan murid dan seorang lagi ustazah dalam kelas berkenaan.

Bagaimanapun, tindakan itu dipersoalkan wanita berkenaan yang seolah-olah tidak berpuas hati kerana ustazah terbabit mengajak beberapa murid lain merangkak sama.

Tiada maklumat terperinci mengenai lokasi sekolah berkenaan tetapi rakaman tersebar jelas menunjukkan kejadian berlaku di sebuah sekolah agama berdasarkan pakaian murid di dalam video berkenaan.

Semakan wartawan Harian Metro mendapati rata-rata warganet marah dan tidak berpuas hati dengan tindakan wanita terbabit.

Seorang yang meluahkan rasa geram dan kesal adalah pengguna bernama Semangat Jebat.

“Kurang ajar betul dia buat guru macam ini, biadab sungguh, suruh dia ajar anak dia sendirilah kalau tak nak kena denda. Adatlah mengajar, mesti ada denda. Kalau marah pun tak kan sampai suruh guru merangkak.

“Maruah guru itu tinggi, darjat guru itu tinggi, mereka seperti ibu bapa kita juga. Sampai hati lakukan guru sebegini seperti orang yang tak bertamadun,” tulisnya.

Manakala, Zuan’s Radzeem berharap polis mengambil tindakan terhadap wanita berkenaan.

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) carilah orang ini, kurang ajar,” tulisnya di ruangan komen.

Sehingga kini, video berkenaan dikongsi 7,900 orang dan 2,200 komen dengan rata-ratanya warganet memberi emoji marah serta sedih.

Wartawan Harian Metro sudah menghantar kiriman mesej kepada Asmadi di Facebook untuk mendapatkan maklumat lanjut tetapi belum dijawab.

Kredit: BESIHITAM

Sumber: Harian Metro

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here