KUANTAN: Murid Tahun Satu sebuah sekolah di sini parah selepas dipercayai dilanggar van sekolah yang dinaikinya, di Perumahan Makmur Penor Utara Jaya, di sini, pada Isnin.

Kejadian kira-kira jam 2.40 petang itu berlaku ketika mangsa, Nur Zahra Aisyah Mohd Zaini, 7 tahun, diturunkan pemandu van untuk pulang ke rumahnya.Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Supt Kamarulzaman Jusoh berkata, ketika kejadian, van sekolah berkenaan dipandu oleh seorang lelaki berusia 33 tahun, dari arah sekolahnya menghala ke perumahan berkenaan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu berkenaan memberhentikan kenderaannya untuk menurunkan mangsa di sebelah kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selepas menurunkan mangsa, tiba-tiba pemandu itu ternampak kanak-kanak berkenaan melintas di hadapan van yang dipandunya.

“Oleh kerana jarak terlalu dekat, pemandu berkenaan tidak sempat memberhentikan kenderaan dan mengelak, lalu terlanggar mangsa di bahagian hadapan, lalu (mangsa) jatuh di tempat kejadian,” katanya.

Kamarulzaman berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk menerima rawatan lanjut.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Astro Awani

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here