KUALA LUMPUR, 27 Feb — Perdana Meteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi yang amat dinanti-nantikan hari ini, bagi menyokong ekonomi negara daripada kesan berkaitan penularan COVID-19 ke atas sektor domestik yang penting.

Pengumuman yang dijadualkan dibuat pada 4 petang ini, akan menjadi yang kedua bagi Dr Mahathir selepas 2003 apabila beliau sebagai Perdana Menteri keempat Malaysia membentangkan pakej ekonomi RM8.1 bilion untuk menangani krisis berkaitan kesihatan global, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Pakej rangsangan SARS yang diperkenalkan kerajaan ketika itu menumpukan empat strategi utama dan 90 langkah, yang bertujuan menjana kegiatan ekonomi dengan menggerakkan sumber pertumbuhan domestik, meningkatkan penggunaan dan menggalakkan pelaburan.

Pembentangan sokongan ekonomi berikutan SARS yang dibuat pada 17 tahun lepas itu merupakan antara tugas terakhir Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri negara sebelum melepaskan jawatan berkenaan pada Oktober 2003.

Kementerian Kewangan bertungkus lumus bekerja pada Sabtu lepas untuk menyiapkan butiran pakej ekonomi kali ini, iaitu sehari sebelum berlakunya pergolakan dalam hal ehwal politik negara yang membawa kepada terbubarnya kerajaan pimpinan Pakatan Harapan pada Ahad.

Pada Isnin, Dr Mahathir mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai perdana menteri ketujuh. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang berkenan menerima peletakan jawatan itu, melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim kemudiannya pada hari yang sama.

Baginda turut membatalkan pelantikan menteri-menteri berkuat kuasa 24 Feb, atas nasihat Dr Mahathir.

Menyokong ekonomi Malaysia daripada kesan COVID-19 serta menggalakkan pasaran kewangan akan menjadi antara teras utama pakej rangsangan fiskal tersebut.

Antara sektor utama yang dijangka mendapat faedah secara langsung daripada pakej itu adalah pembuatan dan pelancongan yang telah mengalami kelembapan mendadak, sejak COVID-19 mula menular ke seluruh dunia pada pertengahan Januari.

Sehingga kini, kira-kira 80,000 orang di seluruh dunia telah dijangkiti COVID-19 selain lebih 2,800 maut, terutamanya di China.

Antara lain, pakej yang akan diumumkan hari ini itu dijangka menumpukan penggunaan dan pelaburan dan dalam masa sama merangsangkan ekonomi domestik dan perjalanan, yang telah terjejas berikutan COVID-19.

Keperluan untuk memperkenalkan pakej rangsangan fiskal itu dicadangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada seawal Januari untuk mengurangkan impak buruk ekonomi luaran daripada COVID-19 ke atas Malaysia di samping memelihara kebajikan rakyat jelata.

Pasaran telah memberi reaksi positif sejak laporan mengenai pengumuman pakej itu diuar-uarkan, dengan pasaran kewangan meningkat lebih tinggi, membuktikan keadaan baik ekonomi negara kekal menjadi keutamaan penting Perdana Menteri Interim.

Indeks utama Bursa Malaysia, FBM KLCI diniagakan lebih tinggi sejak dagangan dibuka hari ini dan sehingga 11 pagi, indeks itu meningkat 3.96 mata kepada 1,499.15 berbanding 1,494.94 ketika ditutup semalam, sekali gus melepasi paras rintangan segera 1,500.

Ringgit pula diniagakan lebih tinggi pada 4.2130 berbanding dolar AS daripada 4.2230 ketika ditutup semalam, selain diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Selain Malaysia, negara-negara lain di rantau ini juga mengambil langkah untuk memperkenalkan pakej rangsangan bagi menyokong ekonomi masing-masing berikutan kesan daripada COVID-19.

Sumber: BERNAMA

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here