TIDAK ada pemimpin yang mendapat majoriti selepas 221 Ahli Parlimen menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa dan kelmarin menyebabkan Dewan Rakyat menjadi forum terbaik menentukan siapa bakal Perdana Menteri ke- 8.

Dewan Rakyat akan bersidang Isnin ini bagi menentukan siapa Perdana Menteri menerusi undian majoriti.

Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ketetapan itu dibuat selepas Yang di-Pertuan Agong tidak memperoleh pendirian majoriti selepas Baginda menemu bual semua ahli Parlimen berkenaan secara individu.

Menurutnya, Baginda berpendapat Dewan Rakyat adalah forum terbaik mendapat keputusan.

“Jika Dewan Rakyat gagal mendapatkan seseorang yang ada sokongan majoriti, maka kita perlu melalui pilihan raya,” katanya dalam sidang media selepas mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di Putrajaya, semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.

Pada Selasa dan kelmarin, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua Ahli Parlimen menghadapnya di Istana Negara bagi menyatakan pandangan masing-masing mengenai calon Perdana Menteri susulan peletakan jawatan itu oleh Dr Mahathir, Isnin lalu.

Hanya dua nama Perdana Menteri dicalonkan Ahli Parlimen iaitu Dr Mahathir dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam sidang media sama, Dr Mahathir memaklumkan beliau turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Menurutnya, beliau bersetuju sekiranya Muhyiddin dipilih dan menerima sokongan majoriti sebagai Perdana Menteri daripada ahli Dewan Rakyat.

“Jika dia (Muhyiddin) mendapat majoriti (sokongan) di Parlimen, dia boleh dilantik, mengangkat sumpah dan membentuk Kabinet.

“Saya tidak akan terima Umno namun terima bekas ahlinya. Tan Sri Muhyiddin agak terbuka (untuk terima Umno),” katanya.

Kemelut politik negara bermula Ahad lalu apabila beberapa parti politik dinamakan Perikatan Nasional dianggotai Bersatu, Pas, serpihan PKR, Umno, Warisan dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mula berkumpul di beberapa hotel terkemuka seperti Hotel Sheraton Petaling Jaya dan Hotel Ritz Carlton (Kuala Lumpur) manakala Bersatu di Menara Yayasan Selangor dalam usaha menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Susulan gerakan yang tidak dipersetujui Dr Mahathir itu, beliau mengumumkan tindakan mengejutkan dengan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri disusuli Pengerusi Bersatu.

Namun, Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri Interim sehingga perdana menteri baharu mengangkat sumpah.

Bagi merungkai krisis yang berlaku, Al-Sultan Abdullah turut memanggil semua ahli Parlimen untuk ditemu bual untuk mendengar sokongan kepada mana-mana individu bagi membolehkan Perdana Menteri baharu dilantik.

Sumber: Harian Metro

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here