KUALA LUMPUR: Ketika banyak negara terus bergelut untuk mengekang COVID-19, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melahirkan keyakinan bahawa harapan masih ada untuk menghentikan rantaian penyebaran jika semua negara dan rakyat masing-masing bekerjasama.

Keyakinan itu disuarakan oleh Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus yang meminta setiap negara melaksanakan langkah pencegahan seperti membatalkan acara sukan, konsert dan perhimpunan berskala besar untuk membantu membendung penularan wabak berbahaya itu.

Agensi berita melaporkan, WHO mengesyorkan langkah mengasing, menguji dan merawat setiap kes disyaki dan mengesan setiap kontak, iaitu kunci terpenting dalam langkah pencegahan dan dianggap harapan terbaik untuk menghalang rantaian penularan antara komuniti yang lebih meluas.

Dunia juga berharap ‘sinar baharu’ agar ujian klinikal vaksin pertama COVID-19 yang dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 12 hingga 18 bulan sebelum dapat digunakan, berjaya menghasilkan penawar bagi merawat mereka yang dijangkiti.

Ujian klinikal untuk menilai keberkesanan vaksin COVID-19 bermula pada Isnin di Kaiser Permanente Washington Health Research Institute (KPWHRI) di Seattle, Amerika Syarikat (AS). Vaksin percubaan itu disuntik kepada kumpulan peserta pertama membabitkan 45 sukarelawan berusia 18 hingga 55 tahun.

Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Negara (NIAID), Anthony Fauci dilaporkan berkata, walaupun ujian awal klinikal berjalan lancar, ia mungkin mengambil masa kira-kira setahun hingga 18 bulan sebelum vaksin itu benar-benar dapat digunakan.

Sejak virus itu mula dikesan pada 31 Disember 2019 di Wuhan, China sebelum merebak ke negara lain, kira-kira 500 juta orang terbabit dalam langkah kawalan pergerakan di seluruh dunia, memerlukan mereka tinggal di rumah sebagai langkah melewatkan penyebaran pandemik.

Sekurang-kurangnya sembilan negara lain mengikut langkah China menguatkuasakan perintah sama, iaitu Itali yang bermula 10 Mac, Sepanyol (14 Mac), Lubnan (15 Mac), Republik Czech (16 Mac), Perancis, Israel dan Venezuela (17 Mac), Belgium serta Malaysia yang bermula kelmarin.

Di Malaysia, sebanyak 110 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan setakat jam 12 tengah hari semalam, termasuk 63 kes daripada kluster ijtimak tabligh di Seri Petaling, dekat sini, menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 900 kes, termasuk 20 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan, seramai 15 individu yang sebelum ini positif dijangkiti wabak terbabit sudah dibenarkan pulang setakat tempoh sama dan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 sebanyak 75 kes.

Semalam, masuk hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan di Malaysia yang menyaksikan tahap pematuhan rakyat sekitar 60 peratus.

Tinjauan BH di sekitar ibu negara dan beberapa negeri mendapati masih ramai yang enggan bekerjasama mematuhi perintah berkenaan yang boleh menjejaskan usaha untuk mengawal rantaian penyebaran wabak berbahaya itu.

Jika masih terus berdegil, kerajaan tidak menolak kemungkinan terpaksa menggunakan khidmat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menguatkuasakan perintah berkenaan sekiranya orang ramai masih ingkar mematuhinya.

Ini kenyataan tegas Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bahawa sekiranya keadaan memerlukan, khidmat anggota tentera boleh digunakan di kawasan kampung, manakala polis menguatkuasakan perintah di bandar bagi mengurangkan pergerakan orang ramai, sekali gus menjayakan matlamat perintah itu.

Mulai semalam, polis sudah meningkatkan penguatkuasaan dalam bentuk sekatan jalan raya untuk membendung pergerakan orang ramai, sekali gus dapat meningkatkan tahap pematuhan rakyat terhadap perintah itu yang baru mencapai sekitar 60 peratus.

“Susah kawalan di kampung, kalau RELA tak mampu, tentera mungkin digunakan di kampung, polis di bandar. Kalau pematuhan tidak meningkat juga, pihak polis akan gunakan tindakan undang-undang dan tindakan yang tegas lagi,” kata Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan.

Bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula, Tan Sri Abdul Hamid Bador selaku Ketua Polis Negara turut membuat penegasan bahawa pasukan itu bersedia mengambil tindakan lebih berat sekiranya masih terdapat rakyat Malaysia terus berdegil mengingkari arahan.

Namun, katanya, PDRM masih menggunakan pendekatan memberi amaran dan nasihat kepada orang awam yang tidak mematuhi arahan berada di rumah kecuali bagi pekerja dan kakitangan dalam sektor perkhidmatan penting.

“Selain sekatan jalan raya, polis turut mewujudkan pasukan-pasukan tertentu bagi memantau lokasi panas yang menjadi tumpuan orang ramai berkumpul,” katanya berharap tahap pematuhan orang ramai terhadap perintah itu mencapai 80 hingga 90 peratus.

Justeru, PDRM menggerakkan 8,600 anggotanya bagi memantau pergerakan masyarakat untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

Bukan sekadar itu, anggota polis turut giat menjejaki 4,000 peserta ijtimak tabligh berkumpul di Masjlid Seri Petaling, pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu kerana tidak semua jemaah program berkenaan setakat ini tampil membuat saringan COVID-19 di fasiliti kerajaan, sekali gus mencetuskan kebimbangan rakyat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam turut mengulangi rayuan kepada jemaah tabligh terbabit agar segera menjalani pemeriksaan kesihatan dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Setakat jam 12 tengah malam kelmarin, katanya, seramai 10,553 jemaah tabligh yang hadir perhimpunan itu sudah menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital seluruh negara dan daripada jumlah itu, 4,986 sampel diambil untuk ujian lanjut.

Daripada jumlah sampel diuji setakat ini, 513 kes adalah positif dengan 659 jemaah kini masih menerima rawatan di hospital seluruh negara, manakala 6,627 individu dikuarantin di rumah.

Turut dibimbangi juga apabila 83 rakyat Malaysia dikesan hadiri perhimpunan tabligh Ijtima Dunia 2020 Zon Asia di Sulawesi, Indonesia dan mereka, menurut Ismail Sabri, keluar dari Malaysia sebelum pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Meskipun tiada maklumat bila kumpulan tabligh itu akan pulang ke tanah air, selepas Kerajaan Indonesia tidak memberikan permit perhimpunan, Ismail Sabri menegaskan bahawa pihak berkuasa seperti Jabatan Imigresen dan polis akan sentiasa menjalankan pemantauan bagi mengesan kehadiran mereka.

Jelasnya, kerajaan memandang serius situasi berkenaan berikutan COVID-19 merebak cepat di negara ini selepas berlangsung ijtimak tabligh di Masjid Seri Petaling.

Mengulas perkara sama, Dr Adham berkata, 83 rakyat Malaysia terbabit akan dibawa ke sebuah pusat kuarantin yang diwartakan kerajaan selama 14 hari, sebaik pulang ke negara ini.

Sumber: BERITA HARIAN

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here