BUKIT AMAN: Promosi cecair rokok elektronik atau dikenali sebagai vape mengandungi dadah secara terang-terangan di platform jualan dalam talian.

Itu modus operandi dikesan dilakukan beberapa individu yang menjual barangan berkenaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Bagaimanapun, taktik itu berjaya dibongkar dalam beberapa serbuan berasingan Operasi Slayer dilakukan 69 pegawai dan anggota polis di sekitar Lembah Klang pada 29 dan 30 April lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Ramli Din berkata, pihaknya menahan 17 individu termasuk seorang lelaki warga asing dan seorang wanita penduduk tetap berusia antara 20 hingga 56 tahun dalam serbuan itu.

“Kami merampas 215 botol cecair vape yang dipercayai berasaskan dadah ganja dan ketamin dianggarkan bernilai RM58,400. Difahamkan semua individu berkenaan aktif melakukan kegiatan berkenaan sepanjang tempoh PKP.

“Mereka mempromosikan cecair terbabit dengan harga antara RM200 hingga RM300 setiap satu yang tertera label cbd, thc serta hemp pada iklan di tiga platform jualan dalam talian yang popular,” katanya pada sidang di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Ramli berkata, semua individu terbabit menggunakan tiga kaedah pembayaran iaitu melalui pembayaran tunai secara serahan (COD), pemindahan wang menerusi dalam talian serta secara bersemuka.

“Difahamkan bekalan cecair itu diimport dari negara luar memandangkan ada di antara negara tidak menghalang penggunaan dadah berkenaan.

“Semua suspek yang ditahan didapati bekerja sebagai pengamal bank, peniaga dan penghantar barang selain penganggur serta penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dengan lima daripada mereka mempunyai rekod jenayah dan dadah.

“Hasil ujian saringan air kencing dilakukan mendapati dua daripada 17 suspek terbabit positif dadah jenis ganja,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 akta sama.

“Selain menahan individu yang menjual cecair itu, kami juga mengambil tindakan melakukan siasatan terhadap tiga platform jualan dalam talian berkenaan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

“Siasatan itu dilakukan atas kesalahan menerbit berita atau maklumat yang mendorong seseorang melakukan kesalahan,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada mana-mana individu yang ‘terbeli’ cecair berkenaan supaya tampil di balai polis berhampiran bagi menyerahkannya untuk siasatan lanjut.

“Kegagalan berbuat demikian (menyerahkannya) akan mengakibatkan individu terbabit boleh dikenakan hukuman mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.

Sumber: HARIAN METRO

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here