Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) didenda maksimum RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini kerana keluar dari rumah untuk membuat tugasan di rumah kawannya semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas penuntut lelaki berumur 20 tahun selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara tiga bulan, sekiranya dia gagal membayar denda.

Dia didakwa dengan sengaja berada dalam kawasan tempat jangkitan tanpa sebarang alasan munasabah yang menghendakinya berada di dalam rumah di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.2) 2020 di tepi Jalan Tan Sri Low You Chuan, Rawang di sini pada 11.30 malam, 3 April lepas.

Dia  dituduh mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 11 peraturan serupa yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya M.S Arunjothy memohon hukuman setimpal manakala peguam M.Mariappan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili penuntut itu memohon denda minimum kerana anak guamnya telah menyesal dan insaf.

“Pada hari kejadian, dia telah pergi ke rumah kawannya untuk membuat tugasan apabila balik dari rumah kawannya itu dia telah ditahan,” katanya.

Di mahkamah sama, dua penganggur berumur 26 dan 24 tahun masing-masing didenda RM1,000 atau penjara tiga bulan selepas mereka mengaku bersalah melanggar PKP dengan keluar membeli makanan di tepi Jalan SP1 A, Selayang Jaya, Gombak di sini pada 9.15 malam, 9 April lepas.

Arunjothy memohon hukuman setimpal manakala Mariappan yang mewakili kedua-dua lelaki itu memohon denda minimum kerana mereka keluar untuk membeli makanan dan mereka juga memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan.

Sumber: BERNAMA 

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here