MELAKA, 5 Mei — Kumpulan kedua seramai 166 pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang melepasi saringan kesihatan selamat pulang ke 11 destinasi Zon Tengah 1, awal pagi tadi.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Dr Raha Abdul Rahim, berkata proses penghantaran pelajar berjalan lancar seperti dijadualkan dari Zon Selatan ke Zon Tengah 1 melibatkan kawasan Selangor dan Kuala Lumpur.

Katanya, bas terakhir selamat pulang semula ke Kampus Induk UTeM di Durian Tunggal, Alor Gajah dekat sini pada jam 4.47 pagi tadi dan operasi penghantaran pulang itu turut melibatkan empat pelajar Universiti Teknologi Petronas, Kolej Profesional MARA Batu Pahat dan Politeknik Ibrahim Sultan.

“Penghantaran kumpulan kedua ini melibatkan penggunaan sebanyak 15  bas menuju ke 11 destinasi antaranya  Klang Selatan, Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling Jaya, Gombak, Hulu Selangor, Cheras, Ampang Jaya, Sabak Bernam, Kajang dan Sepang.

“Saringan awal mencatatkan seramai 201 penuntut UTeM telah memohon namun hanya 166 penuntut yang berjaya disenaraikan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Raha berkata pergerakan penghantaran pulang itu memulakan perjalanan dari Dewan Canselor, di Kampus Induk UTeM sekitar 9 malam dan semua kenderaan  serta kesemua bagasi telah menjalani proses nyah cemar oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jumaat lalu, kumpulan pertama 28 pelajar UTeM selamat tiba di kampung halaman masing-masing di Zon Selatan melibatkan Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Sumber– BERNAMA

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here