TASEK GELUGOR: “Setiap hari dia antara terawal berada di meja makan dan paling seronok memanggil ahli keluarga untuk berbuka puasa bersama, namun semalam dia hanya mengurung diri dalam bilik dan tidak banyak bercakap,” kata Basri Ahmad, 43, abang kepada Allahyarham Al Zahari, 32, yang maut dalam kemalangan, tengah malam tadi.

Basri berkata, dia pelik dengan kelakuan adik bongsunya kerana tidak pernah ditunjukkan sebelum ini, tetapi berkemungkinan ia adalah petanda bahawa Al Zahari bakal meninggalkan mereka sekeluarga buat selama-lamanya.

Katanya, Al Zahari yang pernah bertugas sebagai anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengambil keputusan berhenti kerja pada awal Mac lalu selepas berkhidmat selama empat tahun demi minatnya terhadap bidang masakan dan automotif.

“Dia seorang yang minat memasak dan membaiki kereta lalu mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi memberi tumpuan kepada perniagaan nasi ayam bersama salah seorang abangnya dan membaiki kenderaan secara sambilan di rumah.

“Zahari banyak menceritakan mengenai masa depannya, namun semuanya sudah berakhir apabila dia maut dalam kemalangan malam tadi,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol, Tasek Gelugor, hari ini.

Katanya, adiknya juga ada menyatakan hasrat kepada kakaknya bahawa dia mahu rujuk semula dengan bekas isterinya selepas berpisah dua tahun lalu demi anak perempuan mereka Adena Zahira, 5, selepas Hari Raya Aidilfitri.

“Namun, hajatnya itu tidak kesampaian tetapi dua hari sebelum ‘pergi’, dia meminta saya membuatkan permohonan i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuknya.

“Ini kerana katanya wang itu mahu diberikan kepada anak perempuannya,” katanya.

Jenazah kedua-dua mangsa dikebumikan di tanah perkuburan sama kira-kira 11 pagi tadi.

Sebelum ini dilaporkan dua lelaki maut selepas motosikal ditunggangi mereka bertembung dalam kemalangan di Jalan Pongsu Seribu, Kepala Batas, malam semalam.

Dalam kejadian pada 11.45 malam, Al Zahari dan mangsa lain Azizi Affendy Mohammad Idris, 50, meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala.

Sumber: HARIAN METRO

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here