KUANTAN, 5 Mei  — Suri rumah, Munah Mubin tidak putus-putus mengucapkan syukur apabila mendengar keputusan kerajaan membenarkan perjalanan merentas negeri pada pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mula berkuat kuasa semalam. 

Bukan untuk pulang berhari raya, namun Munah, 29, yang menetap di Jaya Gading di sini perlu pulang ke kampung di Kijal, Terengganu untuk melahirkan anak ketiganya tanpa kehadiran suami, Sahruddin Yunus, 38, yang kini ‘terkandas’ di Bahau, Negeri Sembilan. 

Munah berkata suaminya berpindah ke Bahau kerana mendapat kerja di sebuah ladang kelapa sawit di sana beberapa minggu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa, manakala dia bersama dua anak perempuan berusia lima dan dua tahun terus berada di sini.  

“Nasib tidak menyebelahi kami kerana suami tidak bekerja selama hampir sebulan akibat PKP sebelum dipanggil semula bekerja. Dalam tempoh itu, suami juga tidak boleh pulang ke Kuantan kerana sempadan negeri ditutup. 

“Mahu tak mahu, saya terpaksa berdikari. Bawa dua anak yang masih kecil menaiki teksi ke klinik untuk rutin pemeriksaan bulanan walaupun ditegur jururawat tapi anak saya terlalu kecil untuk ditinggalkan di rumah tanpa pengawasan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini. 

Munah dengan ditemani dua anaknya itu antara individu terawal yang beratur di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan hari ini, bagi mendapatkan borang kebenaran merentas negeri dengan mereka dari Pahang dibenarkan berbuat demikian pada Sabtu ini. 

Dia juga berterima kasih kepada anggota polis dan orang awam yang membantu memudahkan urusannya termasuk membenarkan dia ‘memotong barisan’ apabila melihat keadaannya mendukung anak yang masih kecil sambil memerhatikan seorang lagi anak semasa beratur menunggu giliran. 

Sebagai ‘sokongan’ kepada keperluannya untuk pulang ke kampung, Munah membawa surat klinik kesihatan sebagai bukti dirinya kini sedang menunggu hari dengan jangkaan bersalin pada 22 Mei ini selain surat majikan suami di Bahau. 

“Kebimbangan paling besar suami ialah jika saya bersalin awal. Bagaimana dengan dua anak yang masih kecil? Lagi-lagi jika tanda untuk melahirkan datang pada waktu tengah malam. Jika di Kijal, keluarga saya ada untuk menjaga mereka dan menguruskan saya di hospital,” katanya. 

Munah berkata mereka juga masih belum membuat persiapan barangan bayi kerana kesukaran untuk dia ke pasar raya selain berdepan dengan masalah kewangan apabila suaminya tidak bekerja tempoh hari. 

Sehubungan itu, dia mengakui mereka suami isteri amat lega apabila suaminya sudah kembali bekerja membolehkan dirinya mencari barang keperluan bayi yang penting dahulu di Terengganu. 

“Suami gembira betul apabila diberitahu saya dapat surat kebenaran. Saya juga sudah berjanji dengan pemandu teksi untuk menghantar saya dan anak pulang ke Terengganu. Harap semuanya baik-baik dan urusan kelahiran bayi baru kami dimudahkan,” katanya. 

Sumber– BERNAMA 

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here