KUALA LUMPUR: Bersih dan lenggang tanpa kehadiran peniaga warga asing. Itu keadaan situasi terkini di luar Pasar Borong Harian Selayang dan Pasar Tani Kekal Selayang.

Pemerhatian mendapati, tiada lagi kelibat warga Myanmar, etnik Rohingya dan Bangladesh yang berniaga barangan basah serta keperluan harian di kaki lima di luar pasar borong itu.

Wartawan difahamkan kali terakhir warga asing berniaga di kawasan itu adalah tiga hari sebelum pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ketiadaan warga asing menjadikan kawasan itu bersih malah tiada sampah sarap bertaburan seperti sebelum ini ketika kawasan itu dikuasai kumpulan terbabit.

Peniaga makanan, Rahimah Hashim, 45, berkata, sebelum ini memang ramai warga asing berniaga di situ namun sejak PKP mereka sudah tidak kelihatan.

Menurutnya, walaupun kerajaan kini sudah melonggarkan PKP dan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak dua dua hari lalu, kelibat warga asing masih belum kelihatan.

“Saya berdoa supaya perkara ini berterusan kerana jika mereka meneruskan semula perniagaan di kawasan ini sudah tentu akan memberi saingan kepada peniaga tempatan.

“Kawasan Selayang ini memang ramai diduduki warga asing dan sebelum ini ada peniaga warga Bangladesh menjual ikan berhampiran kedai saya,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Rahimah berkata, kawasan tempat warga asing berniaga juga ada yang sudah diroboh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sementara itu, seorang lagi peniaga di Pasar Borong Harian Selayang yang enggan namanya disiarkan berkata, ketiadaan peniaga warga asing di kawasan ini sedikit sebanyak membantu menambah pendapatannya.

“Sejak kerajaan mengumumkan PKPB saya belum lihat ada peniaga warga asing kembali berniaga.

“Tetapi, tidak tahulah seminggu dua lagi macam mana namun diharapkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan melarang mereka berniaga di kawasan ini,” katanya.

Sumber: Harian Metro

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here