FOTO Berita Harian

ALOR SETAR: Dua lagi sekatan jalan ditutup di daerah ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan di negeri ini.

Sekatan jalan di Jalan Pegawai dan Taman PKNK, di sini yang dibuka ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu itu ditutup sepenuhnya jam 12 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata ini menjadikan jumlah sekatan ditutup adalah empat manakala empat lagi masih beroperasi.

Beliau berkata, antara dua lokasi yang ditutup sebelum ini termasuklah di Pumpong dan berhampiran Kompleks Beli Belah Aman Central.

“Empat lagi jalan yang masih beroperasi adalah di Kuala Kedah, Taman Rakyat Mergong dan dua laluan tol utara dan selatan Lebuhraya Utara Selatan di Jalan Langgar serta Tandop,” katanya ketika ditemui di Jalan Pegawai, malam tadi.

Mohd Rozi berkata, pihaknya masih tidak membenarkan orang luar dari negeri ini merentas sempadan ke dalam daerah Kota Setar untuk mengelak jangkitan COVID-19.

Katanya, setakat ini masih terdapat 13 laluan di sekitar bandar raya ini ditutup kepada orang ramai sebagai peringatan PKP masih berjalan dan sentiasa mematuhi garis panduan yang ditetapkan iaitu dengan melakukan penjarakan sosial ketika di tempat awam, sentiasa memakai pelitup muka serta mencuci tangan ketika keluar dari rumah.

“Sepanjang tempoh PKP dilaksanakan, seramai 512 individu ditahan kerana ingkar dan keluar tanpa hala tuju.

“Daripada jumlah itu, sebahagian daripada yang ditahan sudah dituduh di mahkamah,” katanya.

Mohd Rozi berkata, seramai 800 anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah Kota Setar terbabit secara langsung dalam penugasan sepanjang Ops COVID ini untuk memastikan orang ramai mematuhi peraturan yang ditetapkan ketika PKP berlangsung.

Katanya, pihaknya turut dibantu 50 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 50 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), 25 anggota Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dan Jabatan Penerangan Malaysia.

Sumber: Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here