KUALA LUMPUR: Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sepanjang tempoh 50 hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beliau sedih kerana tidak dapat bersama dengan cucunya.

Katanya, beliau biasanya akan menghabiskan masa sekurang-kurangnya dua hari seminggu dengan cucunya.

“Dulu dua kali seminggu macam wajib berjumpa dengannya. Sekarang tidak boleh berjumpa kerana PKP. Saya akui waktu dengan keluarga kini kurang, saya sedih tetapi ini kerja dan amanah yang perlu saya galas,” katanya ketika di Putrajaya, kelmarin.

Cucu tunggalnya, Jeanelle Nika Mandagie kini berusia tiga tahun adalah cahaya mata sulung anak perempuan Ismail Sabri, Datin Nina Sabrina dengan pasangannya Datuk Jovian Mandagie yang juga pereka fesyen terkenal.

Turut berkongsi kesedihan tidak dapat pulang ke kawasan Parlimen yang biasanya dibuat pada hujung minggu, Ismail berkata, dengan perintah PKP beliau tidak boleh merentas negeri.

“Jika rentas negeri akan diambil tindakan tegas. Jadi, saya tidak boleh balik, saya harap orang di kawasan saya faham kerana saya ada tugas lebih besar untuk negara,” katanya.

Mengenai persiapan raya, beliau menegaskan akan menghabiskan masa di kediamannya bersantai dengan memakai kain sarung pelikat.

“Seperti diumumkan Perdana Menteri, kita tidak boleh balik raya, jadi kita beraya di rumah saja dan pakai kain pelikat,” katanya.

Ditanya rutin hidup beliau sepanjang 50 hari pelaksanaan PKP, katanya separuh hari beliau akan berada di kompleks pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

“Setiap pagi tujuh hari seminggu, tiada cuti. Setiap hari dari jam 9 pagi mungkin sampai 12 tengah hari diadakan mesyuarat khas menteri-menteri dan setiap dua atau tiga hari sekali diadakan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pada jam 11.30 pagi.

“Bermakna, kalau saya bermesyuarat jam 9 pagi jika ada mesyuarat MKN, saya terpaksa berhenti mesyuarat khas menteri pada jam 11.20 pagi untuk hadir mesyuarat MKN. Biasanya jam 2 petang akan diadakan sidang media, dan di antara waktu itu saya perlu membuat persediaan,” katanya.

Beliau juga melunaskan kerja sebagai Menteri Pertahanan pada sebelah petang sehingga lewat petang, malah menghabiskan kerja sehingga jam 8 malam.

” Biasanya saya beredar dari Putrajaya sekitar jam 3 petang untuk ke Kementerian Pertahanan. Kementerian itu adalah tanggungjawab hakiki saya, tidak boleh saya tinggalkan.

“Di kementerian, saya bertugas sehingga 7 atau 8 malam, malah kadang-kadang terpaksa makan malam di pejabat,” katanya sambil mengakui beliau sangat minat dengan tugasnya walaupun ada kala penat.

Ditanya cara beliau menjaga stamina dan kesihatan, katanya beliau sekadar mengambil vitamin C dan multivitamin untuk mengekalkan kesihatan.

Selebihnya, adalah kerana minat yang mendalam dalam setiap kerja yang beliau lakukan.

“Satu yang menjadi kebiasaan saya akan cuba menjawab semua mesej yang diterima,kadang-kadang hingga sampai jam 1 hingga 2 pagi.

“Saya rasa bersalah jika tidak menjawab mesej yang orang hantar walaupun dengan jawapan sekadar terima kasih atau paling pendek ok. Saya biasanya jawab ‘personal message’ ini, cuma group WhatsApp saja saya tidak sempat babitkan diri.

“Setiap hari saya cuba habis dan jawab mesej yang saya terima. Penat memang penat, tetapi kita kena bertanggungjawab dan saya sudah diamanahkan menjadi jurucakap kerajaan, saya terima dengan penuh tanggungjawab. Ini amanah yang perlu saya tanggung,” katanya.

Sumber: Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here