Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Datuk Hazani Ghazali

TAWAU: Kerjasama Malaysia dan Filipina berkaitan perisikan telah menyumbang kepada usaha menangani ancaman jenayah rentas sempadan seperti penculikan untuk wang tebusan (KFR) yang dilakukan Kumpulan Abu Sayyaf serta rangkaiannya dari Selatan Filipina ke atas komuniti maritim di perairan pantai timur Sabah, Malaysia.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Datuk Hazani Ghazali berkata perkongsian maklumat risikan antara pegawai risikan dengan Filipina membolehkan pemantauan elemen KFR dan seterusnya pemintasan di laut dapat dilakukan.

“Sejak Januari hingga April ini, pasukan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) berjaya menggagalkan dua percubaan KFR yang menyasarkan komuniti nelayan,” katanya kepada Bernama.

Pada dua percubaan itu, kumpulan KFR berkenaan melakukan jenayah masing-masing pada waktu siang dan malam hari.

“Namun digagalkan selepas pegawai risikan kita menerima maklumat dari Filipina mengenai pergerakan awal kumpulan KFR dari Selatan Filipina, dan kita atur gerak aset untuk memintas,” katanya.

Hazani berkata, pihaknya juga menyalurkan maklumat kepada pasukan keselamatan Filipina berhubung kejadian culik lima nelayan warga Indonesia di perairan Tambisan, Tungku, Lahad Datu pada Januari lepas, dipercayai dilakukan anggota kumpulan Abu Sayyaf.

Susulan itu, pasukan keselamatan Filipina giat mengesan mangsa dan sepanjang tempoh Februari hingga April beberapa siri pertempuran berlaku dengan rangkaian Abu Sayyaf dan berikutan itu tiga ahli Kumpulan Jemaah ditembak mati.

“Pada tahun 2020, kerjasama pegawai risikan dengan Filipina dapat menembak mati tiga ahli Kumpulan Jemaah di Pulau Sulare, Bandar Parang, Sulu, Filipina,” katanya, namun kesemua mangsa culik masih dalam tawanan Abu Sayyaf.

Hazani berkata kerjasama dengan Filipina turut memudahkan pengeluaran senarai 21 individu dikehendaki ESSCom kerana terlibat dalam KFR di ESSZone.

Dalam senarai berkenaan turut disertakan nama pemimpin Abu Sayyaf iaitu Hatip Hajan Sawadjaan dan Salip Mura.

Alvin Yusof, yang juga dikenali sebagai Arab Puti, adalah seorang daripada yang terbabit dalam penculikan lima nelayan warga Indonesia di perairan Tambisan pada Januari lepas.

Arab Puti juga adalah penjaga tebusan di Indanan, Filipina sejak 2016 dan dikesan kerap bersama seorang yang turut dikehendaki iaitu Apo Mike.

Seorang lagi, Basaron Arok iaitu Ketua Kumpulan Ajang Ajang yang terlibat dalam kes penculikan di Perairan Pegasus, Tambisan Lahad Datu pada 2019.

Pasukan keselamatan di Sabah sedaya upaya berusaha membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan membabitkan kes penyeludupan barangan, kemasukan pendatang haram selain KFR daripada kerap berlaku.

Faktor sempadan perairan Filipina dan Indonesia yang berhampiran Sabah iaitu sepanjang pantai timur Sabah atau dikenali menjadi jenayah rentas sempadan itu berleluasa, bagai tiada noktah.

Sabah terletak di utara Borneo dengan keluasan daratan kira-kira 73,620 kilometer persegi, dan bersempadanan dengan Filipina di timur manakala Indonesia di selatan, selain Brunei serta Sarawak di bahagian barat.

Sumber: BERNAMA

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here