FOTO HIASAN

DUNGUN : “Saya sudah berbincang dengan pemilik kedai pajak gadai supaya masa tempoh gadaian dua bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu tidak dikira dan tidak dikenakan sebarang caj atau denda dan mereka bersetuju,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Hanafiah Mat.

Hanafiah berkata demikian susulan kedai pajak gadai di semua daerah di negeri ini sesak ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga menimbulkan spekulasi rakyat berada dalam keadaan kesempitan dan terdesak.

“Orang ramai beratur beramai-ramai di pajak gadai bukan kerana mereka tiada duit tetapi mereka takut barang gadaian mereka sebelum ini luput tarikh dan akan dilelong berikutan dua bulan mereka tidak bayar kerana PKP.

“Kita sedia maklum peraturan ditetapkan pajak gadai, jika dua bulan gadaian tidak berbayar, barang kemas itu akan dilelong seterusnya mencemaskan pemajak,” katanya.

Menurutnya, beliau menjalankan pemantauan di beberapa premis pajak gadai di Kemaman, Kuala Terengganu dan Besut untuk mengenal pasti punca sebenar orang ramai memenuhi premis itu susulan PKPB.

“Mengikut rekod pada 4 Mei lalu, seramai 170 orang pergi ke kedai pajak gadai di Kemaman dan 100 peratus orang bayar ‘anak’ (bunga) dan bukan ingin membuat gadaian.

“Pada 5 Mei lalu pula, seramai 150 orang pergi ke kedai pajak gadai yang sama tetapi hanya lima orang yang membuat gadaian baru,” katanya.

Hanafiah berkata, orang ramai atau mana-mana individu termasuk ahli politik diharap tidak berterusan membuat sebarang spekulasi kononnya rakyat dihimpit kesempitan kerana PKP sehingga terdesak membuat gadaian di kedai pajak.

“Ekonomi rakyat masih stabil dan boleh diurus dengan baik.

“Mereka yang hilang pendapatan harian semasa PKP semuanya mendapat Bantuan Prihatin Nasional (BPN) daripada kerajaan.

“Kerajaan negeri juga mengeluarkan peruntukan untuk agihan barang keperluan harian selain bantuan tunai dan sumbangan Ramadan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here