Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad

KANGAR: Bagi memastikan pematuhan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad memilih pendekatan memberi nasihat dan penerangan menerusi akaun laman sosial, Facebook miliknya.

Menerusi perkongsian itu, beliau juga akan menjawab soalan yang dibangkitkan oleh orang ramai.

Surina berkata beliau berkongsi maklumat dengan orang ramai melalui cara itu kerana beranggapan bahawa semua rakyat  di negeri  ini adalah ‘adik-beradik’ (keluarga besar)  dan mereka perlu mendapat maklumat yang tepat.

“Saya perlu memberikan maklumat tepat kepada orang ramai khususnya pada ketika negara berdepan dengan penularan wabak COVID-19.  Antara pertanyaan yang saya terima daripada orang ramai  ialah penerangan mengenai  Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPB, bilakah  masa yang dibenarkan keluar, apa langkah perlu diambil sepanjang PKPB  dan sebagainya,” katanya kepada Bernama.

Beliau mempunyai kira-kira 5,000 orang pengikut  di Facebook dan dengan cara itu mesej yang hendak disampaikan dapat dikongsi oleh sebilangan besar rakyat di negeri ini.

Surina berkata selain berkongsi maklumat dengan masyarakat, beliau turut menggunakan laman Facebook sebagai medium untuk memberi semangat kepada anggota polis yang bertugas tanpa mengira masa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKB) dan PKPB ini.

“Saya rasa terharu dengan sumbangan yang diberikan oleh semua anggota dan petugas barisan hadapan yang bekerja keras sejak bermulanya penularan COVID-19 ini. Dengan cara ini, saya dapat luahkan rasa terima kasih kepada mereka di samping memberi semangat kepada mereka .

“Tanpa pengorbanan daripada mereka (petugas barisan hadapan), kita mungkin tidak akan selamat seperti hari ini,” katanya.

Sumber: BERNAMA

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here