KUALA LUMPUR, 10 Mei  — Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) merupakan satu keputusan penting untuk mengimbangi kepentingan ekonomi negara di samping membendung penularan pandemik COVID-19.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kerugian output sebanyak RM2.4 bilion sehari yang dialami negara merujuk kepada nilai keseluruhan barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan, yang pada dasarnya menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara. 

Sebaliknya, pandemik COVID-19 pula adalah krisis kesihatan dan jika tidak dikawal akan berlaku lebih banyak kehilangan nyawa.  

“PKPB dikuatkuasakan bermula 4 Mei. Sejak itu berlaku beberapa peningkatan kes baharu, namun ia telah dijangkakan dan bilangannya telah turun semula baru-baru ini. 

“Ia adalah satu langkah pengimbangan yang dilakukan dengan bijaksana. Pada pandangan saya, rangsangan ekonomi adalah baik…saiznya amat besar berbanding krisis sebelum ini pada 2009,” katanya. 

Mohd Afzanizam berkata buat masa sekarang usaha-usaha ditumpukan bagi memastikan langkah-langkah ini sampai kepada kelompok yang disasarkan, bagi membolehkan ekonomi dibuka beransur-ansur dan apa yang paling penting COVID-19 kekal terkawal dan kapasiti penjagaan kesihatan terus kukuh.

“Dengan cara itu, ia akan membolehkan pembukaan semula ekonomi dengan lebih efektif dan memupuk keyakinan dalam kalangan perniagaan dan rakyat,” katanya.

Ahli Ekonomi Juwai IQI  Shan Saeed yang turut bersetuju dengan pandangan itu berkata secara keseluruhannya rakyat Malaysia mempamerkan tanggungjawab tinggi mereka dalam membantu mengawal pandemik ini dan mendengar arahan kerajaan.  

Beliau berkata kerajaan hanya mahu menekankan kepentingan kepada rakyat untuk lebih berhati-hati pada masa depan agar kos Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kekal rendah dan tidak membawa impak yang lebih besar. 

“Kerajaan mahu rakyat berdisplin dalam usaha untuk membendung COVID-19 kerana mencegah adalah lebih baik daripada merawat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Profesor Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid berkata jumlah kerugian itu bukan hanya disebabkan oleh PKP tetapi juga gangguan pengeluaran yang dengan itu menyebabkan kehilangan pewujudan tokokan nilai. 

Ini, katanya, akan mengurangkan KDNK negara dan Malaysia bakal berdepan dengan kemelesetan dan kehilangan pekerjaan. 

“Lebih lama PKP dilaksanakan, lebih tinggi kos yang perlu ditanggung negara dan rakyat, tetapi sebaliknya, ia adalah lebih baik dari segi usaha untuk memerangi COVID-19. Saya berpandangan bahawa usaha untuk mengimbangi antara dua keperluan penting ini adalah satu kesukaran yang kita hadapi sekarang.

“Bagaimanapun, faktor kesihatan perlu diberi pertimbangan utama terlebih dahulu,” katanya. 

Zakariah, bagaimanapun, tidak pasti bagaimana jumlah RM2.4 bilion itu diperoleh kerana penilaian ekonomi boleh diukur dalam bentuk kos peluang, tetapi tidak boleh dikembalikan dalam bentuk tunai. 

“Oleh itu, isu menggunakan amaun itu bagi tujuan pembangunan atau penyediaan makanan tidak boleh diukur,” katanya. 

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Hari Pekerja pada 1 Mei lepas mengumumkan pelaksanaan PKPB yang menyaksikan hampir semua aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi bermula 4 Mei.

Langkah itu diambil susulan keputusan positif dua daripada enam strategi untuk memerangi COVID-19 — langkah-langkah ketat untuk membendung penularan dan membangunkan daya tahan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakya.

Muhyiddin berkata Malaysia kerugian kira-kira RM2.4 bilion sehari disebakan oleh PKP dengan jumlah kerugian keseluruhan kira-kira RM63 bilion pada masa itu.

Sumber– BERNAMA

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here