KUANTAN: POLIS menahan 14 individu termasuk tiga wanita kerana disyaki berjudi di sebuah premis perniagaan di Jalan Wong Ah Jang, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Othman Nanyan berkata, serbuan pada 2.30 petang itu menemukan suspek yang berusia lingkungan 33 dan 73 tahun di premis itu bersama peralatan dipercayai digunakan bagi kegiatan berkenaan.

“Selain peralatan untuk berjudi, polis juga menjumpai wang tunai berjumlah RM4,515 yang dipercayai sebagai taruhan judi dan siasatan awal mendapati premis itu didaftarkan atas nama sebuah persatuan.

“Suspek dipercayai mengambil kesempatan melepaskan gian berjudi apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula yang memberikan sedikit kelonggaran untuk mereka keluar rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Othman berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Othman berkata, pihaknya akan mencadangkan kepada Timbalan Pendakwa Raya supaya suspek juga dituduh mengikut Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPB) 2020 atas kesalahan di bawah Peraturan 6 PPPB 2020 iaitu berkumpul bagi maksud sosial.

Sumber: Harian Metro

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here