“RAMADAN dan Aidilfitri tahun ini memilukan bagi saya kerana pertama kalinya tanpa suami dan ibarat ditimpa tangga pendapatan terjejas teruk kerana Covid-19, namun saya akur dan reda dengan ujian ini,” kata pengusaha Pak Dean Lemang Tradisi, Kamariah Yeop.

Kamariah, 63, berkata, dengan dibantu lima anak berusia antara 29 hingga 41 tahun, mereka tetap meneruskan perniagaan peninggalan arwah suaminya, Saharuddin Ibrahim, 65, yang meninggal dunia 11 November lalu akibat penyakit gout.

Dengan menyesuaikan situasi semasa dengan kehidupan normal baharu katanya, mereka terpaksa menukar strategi mempelbagaikan jenis jualan selain menyediakan khidmat penghantaran mengikut caj kawasan bagi kelangsungan perniagaan yang diusahakan sejak 38 tahun lalu.

“Biasanya sepanjang Ramadan kami menerima 3,000 sehari tempahan ketupat nasi untuk majlis berbuka puasa dari pelanggan perhotelan dan penganjur majlis berbuka puasa tetapi kini hendak dapat sebiji pun payah.

“Jadi untuk kelangsungan, kami kena fikir cara kreatif dengan mempelbagaikan jualan termasuk menyediakan juadah berlauk untuk sajian tengah hari ketika sebelum Ramadan dan berbuka puasa.

“Selain membuka gerai fizikal 10 hari menjelang Syawal dengan aspek langkah pencegahan ketat termasuk tidak membenarkan pelanggan masuk dalam gerai dan tunggu pesanan di luar selain menyediakan pilihan kepada pelanggan dengan khidmat penghantaran dan tempahan melalui telefon kerana sambutannya lebih menggalakkan,” katanya.

Menurutnya, mereka akur tempahan yang biasa diterima 8,000 ke 10,000 dikurangkan kepada 3,000 batang lemang saja menjelang Aidilfitri ini.

Saharuddin Ibrahim membakar lemang. FOTO Mahaizura Abd Malik
Saharuddin Ibrahim membakar lemang. FOTO Harian Metro

“Jika dulu kami membakar lemang 500 hingga 700 sehari tetapi kali ini hanya 100 sebatang kerana trend pembelian berkurangan daripada 10 hingga 20 kepada hanya tiga hingga empat batang lemang setiap pelanggan.

“Mungkin pembatalan majlis berbuka puasa, rumah terbuka selain tiada aktiviti kunjung mengunjung juga menjadi faktor orang ramai kurang membeli tahun ini,” katanya.

Tinjauan Harian Metro di kawasan popular penjualan lemang di sekitar Hulu Kelang dan Gombak juga mendapati suasana tidak semeriah tahun sebelumnya apabila banyak gerai masih belum dibuka.

Manakala gerai yang dibuka pula meneruskan perniagaan dalam normal baharu dengan penandaan jarak sosial dan menyediakan cecair pembasmi kuman di depan kaunter untuk pelanggan yang memilih datang sendiri membeli lemang.

Bagi isteri pengusaha Pak Ali Lemang Asli, Batriah Najibhasbi, 41, berkata mereka mengehadkan kemasukan pelanggan dalam gerai kepada kurang lima orang saja dengan selebihnya perlu beratur di luar selain menyediakan tanda penjarakan sosial dan cecair pembasmi kuman.

Dia yang mengakui pendapatan merosot 50 peratus berikutan kebimbangan orang ramai keluar membeli ketika pandemik ini juga terpaksa beralih kepada platform atas talian selain mengurangkan jualan berbanding tahun sebelumnya.

“Jika dulu kami berjaya menjual 400 hingga 500 batang lemang sehari tetapi kali ini hanya 80 ke 140 batang lemang saja.

“Oleh itu, kami turut menawarkan khidmat tempahan atas talian di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dengan caj penghantaran dikenakan mengikut kawasan.

“Tapi masih kurang memberangsangkan terutama bagi pelanggan kawasan jauh yang berfikir dua kali untuk membeli kerana caj penghantaran mahal dan tidak berbaloi tetapi ada juga kadangkala peminat setia tetap sanggup beli juga,” katanya.

Berlainan pula dengan pengusaha Lemang Daun Lerek Greenwood di Gombak, Ariffin Zakaria,61, yang menganggap pandemik Covid-19 bagaikan rahmat apabila menerima tempahan berkali ganda daripada tahun sebelumnya.

Katanya, mereka tidak menang tangan apabila mula menerima tempahan sejak Mac lalu menerusi platform Instagram, Facebook dan WhatsApp dengan menawarkan khidmat penghantaran di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan.

Sumber : Harian Metro

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here