KUALA LUMPUR: Penduduk sekitar Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya berharap kerajaan dapat memanfaatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu untuk menyelesaikan isu membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan itu.

Seorang peniaga yang juga penduduk di Jalan 2/38 di situ, Safizan Yakin, 45, berkata PKPD sepatutnya dimanfaatkan pihak berkuasa untuk menahan warga asing terutama yang tiada dokumen pengenalan diri.

“Ini juga masa yang memudahkan pihak berkuasa mencari dan mewajibkan warga asing membuat saringan COVID-19,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengenai PKPD di kawasan itu bermula semalam, Safizan berkata, majoriti penduduk di kawasan itu terkejut kerana mereka menyangka penutupan pasar selama dua minggu sebelum ini akan dapat menyelesaikan isu berkaitan COVID-19.

“Pasar itu sudah ditutup 14 hari dari 20 April hingga 3 Mei lalu, jadi penduduk sangka isu berkaitan COVID-19 sudah dikawal.

“Namun, tiba-tiba kerajaan umumkan PKPD. Kita akur dengan arahan kerajaan tetapi harap proses agihan bantuan terutama makanan dapat disalurkan dari semasa ke semasa untuk kegunaan seharian,” katanya.

Safizan berkata, PKPD turut memberi kesan kepada penduduk termasuk dirinya yang menjalankan perniagaan menjual pelbagai juadah berbuka puasa sepanjang Ramadan.

Safizan Yakin. - Foto ihsan pembaca
Safizan Yakin. – Foto ihsan pembaca

“Saya menjalankan perniagaan roti john sepanjang Ramadan ini dengan pesanan pelanggan diambil penghantar makanan setiap hari.

“Tetapi bila kawasan perumahan kena PKPD perniagaan saya juga terjejas,” katanya.

PKPD kelapan di sekitar Pasar Jalan Othman bermula semalam hingga 23 Mei ini diputuskan selepas Kementerian Kesihatan mendapati ada 26 kes positif COVID-19.

PKPD dalam tiga zon kawasan itu membabitkan kira-kira 2,900 penduduk.

Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan saringan kepada penduduk sekitar kawasan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chen Moh setelah kawasan tersebut terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). - fotoBERNAMA
Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan saringan kepada penduduk sekitar kawasan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chen Moh setelah kawasan tersebut terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). – fotoBERNAMA

Sumber : Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here