PULAU PINANG: KEBIMBANGAN penduduk terhadap hujan lebat, malam semalam menjadi kenyataan apabila rumah mereka dinaiki air setinggi lebih 0.5 meter.

Dalam kejadian 9.30 malam, kira-kira 100 rumah di sekitar Bayan Lepas dan Teluk Kumbar di Pulau Pinang dinaiki air selepas hujan selama satu jam.

Kawasan yang terjejas ialah Kampung Nelayan, Kampung Sulup, Kampung Paya, Jalan Persiaran Mayang Pasir, Jalan Dato Ismail Hashim, Jalan Mayang Pasir, Jalan Mayang Pasir 2 dan Jalan Tengah.

Penduduk Kampung Sulup, Kefli Mohd Darus, 57, berkata dia baru sahaja selesai menunaikan solat selepas berbuka puasa apabila hujan lebat sehingga air naik ke paras buku lali.

Katanya, bimbang keadaan bertambah buruk, dia dan isteri memindahkan barang penting ke tempat tinggi kerana hujan masih lebat.

“Kejadian banjir memang kerap berlaku di kawasan ini sejak bertahun dulu, malah rumah kami sudah beberapa kali diubah suai bagi mengelakkan banjir. “Malah, kami juga sudah mempunyai pam air sendiri bagi kerja pembersihan.

Pagi tadi kami bersihkan rumah sehingga waktu sahur, tidak tahulah sampai bila nak berhadapan dengan situasi ini,” katanya ketika ditemui, hari ini. Laporan rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan bahawa air dari Sungai Relau dan Sungai Teluk Kumbar melimpah menyebabkan berlaku banjir kilat.

Sementara itu, pesara, Mohd Rodzi Darus, 65, berkata dia berharap supaya projek tebatan banjir di kawasan segera disiapkan.

“Setiap kali berlaku banjir, memang letih nak bersihkan malah ada juga barangan yang rosak,” katanya.

Difahamkan, projek tebatan banjir Bayan Baru dan Teluk Kumbar dibina sebagai usaha bagi menyelesaikan masalah banjir.

Sumber: Harian Metro

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here