Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini menuntut Pusat Untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) memohon maaf selain ganti rugi RM30 juta kerana memfitnah dengan mengaitkannya dengan kontrak pembekalan peralatan COVID-19 Kementerian Kesihatan.

PETALING JAYA: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini menuntut Pusat Untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) memohon maaf selain ganti rugi RM30 juta kerana memfitnah dengan mengaitkannya dengan kontrak pembekalan peralatan COVID-19 Kementerian Kesihatan.

Tuntutan itu dibuat menerusi Notis Tuntutan yang disediakan oleh firma guaman The Law Chambers of Fauzi & Nasser yang mewakili Dr Adham.

Peguam Nasser Yusof berkata sekiranya C4 Center gagal memberi sebarang maklum balas  terhadap notis tuntutan itu dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini, pihaknya akan meneruskan dengan tindakan memfailkan writ saman dan penyataan tuntutan di Mahkamah Tinggi.

Notis tuntutan itu adalah berkenaan tindakan C4 Center menerbitkan satu kenyataan akhbar bertajuk “Health Minister Adham Baba Must Come Clean on MOF’s RM30 Million Procurement Scandal” di laman webnya https://c4center.org semalam (11 Mei) yang didakwa berbaur fitnah serta tohmahan terhadap menteri itu, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Nasser berkata beliau telah diarahkan oleh Dr Adham untuk menghantar notis tuntutan tersebut kepada C4 Center supaya memohon maaf atas penerbitan kenyataan akhbar tersebut yang didakwa telah merosakkan reputasi beliau selaku Menteri Kesihatan.

“Kenyataan kononnya pihak menteri mempunyai proksi dalam mendapatkan tender untuk bekalkan peralatan-peralatan COVID-19 sangat merosakkan reputasi beliau.

“Selain itu anak guam kami menuntut ganti rugi sebanyak RM30 juta, permohonan maaf secara bertulis tanpa syarat, permohonan maaf secara terbuka menerusi media sosial, permohonan maaf melalui sidang media dan permohonan maaf menerusi penerbitan di laman web C4 Center,” katanya.

Beliau berkata C4 Center juga dituntut untuk menarik balik tohmahan tersebut dan tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu, sama ada secara lisan, menerusi kenyataan media atau menerusi video atau hantaran di laman web.

Terdahulu, usaha Nasser untuk menyerahkan notis tuntutan tersebut kepada pihak C4 Center di pejabatnya di sini gagal berikutan premis itu tidak beroperasi dan beliau kemudian bertindak menampal notis itu di pintu masuk pejabat tersebut.

Turut hadir peguam Mohamad Fauzi Abdul Samad yang turut mewakili Dr Adham, Setiausaha Politik kepada Dr Adham, Datuk Shamsul Najmi Shamsuddin dan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kesihatan itu, Isa Nikmat.

“Kami mohon agar pihak C4 Center melalui pengarah mereka atau wakil untuk tampil dan sanggup terima notis tuntutan ini bagi kita mencapai keadilan melalui proses mahkamah.

“Tujuan notis tuntutan ini dan tindakan mahkamah adalah untuk membersihkan nama menteri dan membawa pihak-pihak terbabit ke medan keadilan kerana menteri ingin memberi mesej yang jelas kepada rakyat bahawa beliau adalah seorang berintegriti dan bersih serta tidak melakukan seperti yang didakwa oleh C4 Center.

“Hanya melalui perbicaraan di mahkamah boleh rungkai perkara sebenar, itu hasrat anak guam kami ambil tindakan saman dan bagi memastikan mereka tidak lagi terus memfitnah beliau,” kata Nasser.

Sumber: BERNAMA

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here