KANGAR: Empat daripada tujuh individu yang disyaki terbabit dalam pemalsuan dokumen kelahiran dan pemindahan milikan terhadap seorang bayi lelaki berusia tiga bulan pada 5 Mei lalu di Arau, disambung reman hingga 16 Mei ini.

Perintah sambung reman itu dikeluarkan oleh Majistret Kamaliza Md Zain ke atas suspek berkenaan, termasuk ibu kandung bayi, berusia antara 30 hingga 56 tahun di Kompleks Mahkamah Kangar, pagi tadi, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 48(2) Akta Kanak-kanak 2001.

Bagaimanapun, pasangan suami isteri berusia 36 tahun yang juga keluarga angkat bayi terbabit, dibebaskan dengan jaminan polis, semalam.

Doktor lelaki bertugas sebagai pakar sakit puan di sebuah klinik swasta pula dibebaskan, hari ini, selepas Kamaliza menolak permohonan lanjutan reman terhadapnya atas alasan tertentu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan lain bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad

“Kes ini masih dalam siasatan polis. Kita masih ada siasatan penting dan tidak menolak kemungkinan ada tangkapan lain akan dilakukan.

“Saya akan memaklumkan pada sidang media nanti apabila siasatan sudah lengkap,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sumber: BERITA HARIAN

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here