JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) membenarkan hanya 12 individu saja bagi mendirikan solat Jumaat di masjid-masjid dan surau sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Jumaat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, 12 orang terbabit ialah imam satu, imam dua, bilal, noja dengan lapan jawatankuasa.

Katanya, mereka perlu mematuhi garis panduan yang disediakan JAINJ dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Begitu juga dengan pelaksanaan solat sunat Aidilfitri yang hanya boleh dilaksanakan 12 jemaah sama seperti solat Jumaat.

“Manakala, ahli kariah hendaklah menunaikan solat sunat Aidilfitri di rumah masing-masing yang mana khutbahnya boleh diperolehi daripada laman web JAINJ (http://jainj.johor.gov.my).

“Kaedah menetapkan 12 orang bilangan jemaah bagi solat Jumaat adalah pendapatan sebahagian ulama mazhab as-Syafie yang menyebutkan bahawa sah solat Jumaat oleh 12 orang tanpa perlu diulangi dengan solat Zuhur,” katanya pada sidang media di Pusat Islam Iskandar, di sini, hari ini.

Jelas Tosrin, bagi memastikan jemaah yang hadir hanya 12 orang saja, pihaknya akan meminta pihak keselamatan untuk membuat pemantauan di masjid dan surau yang dibenarkan solat Jumaat.

Katanya, bimbang sekiranya terdapat warga asing atau penduduk yang tidak memahami syarat pelaksanaan yang hanya membenarkan 12 orang tertentu berada dalam masjid bagi menunaikan solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri.

“Pihak jawatankuasa di peringkat daerah akan memastikan ada pengawasan rapi, Kita bimbang bila dibenarkan solat sunat Aidilfitri walaupun dihadkan 12 orang, kita bimbang penduduk tempatan akan meluru ke masjid ini dan kita akan pastikan ia tidak berlaku.

“Jika ia berlaku, solat sunat pada hari berkenaan tidak akan dilakukan di masjid berkenaan saja,” katanya.

sumber : Harian Metro

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here