KOTA BHARU: Kedai makan di negeri ini dibenarkan beroperasi hingga jam 10 malam mulai esok, berbanding sebelum ini dihadkan pada 6.30 petang.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas hari ini.

Ahmad berkata, banyak permintaan diterima daripada pengusaha kedai makan supaya tempoh operasi dipanjangkan, menyebabkan kerajaan negeri mengambil keputusan membenarkannya dalam tempoh seminggu menjelang Aidilfitri.

“Jika sebelum ini kita mengumumkan kedai makan hanya beroperasi dari 3 hingga 6.30 petang. Mulai esok, operasi kedai makan dipanjangkan dari 3 petang hingga 10 malam.

“Namun, orang ramai tidak dibenarkan makan di restoran, sebaliknya pembelian bungkus sahaja yang dibenarkan.

“Jadi, sudah boleh jual colek mulai esok, namun bungkus sahaja. Peraturan ini terpakai sehingga malam Aidilfitiri,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat JKKN Khas di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Ahmad berkata, selepas hari raya ketiga, operasi kedai makan boleh beroperasi seperti biasa, iaitu dari 7 pagi hingga 10 malam.

“Tujuan kita membuat pelepasan berperingkat adalah sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak Kelantan dilanda COVID-19 kembali.

“Justeru, saya mengingatkan peniaga kedai makan supaya mematuhi prosedur ditetapkan dengan menjaga jarak sosial,” katanya.

Sumber : Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here