KUANTAN: Orang ramai di negeri ini tidak digalak melakukan pergerakan rentas daerah ketika sambutan Aidilfitri yang masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, berkata ia berikutan kesukaran untuk memantau orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPB yang ditetapkan pihak kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, aktiviti ziarah Aidilfitri di rumah jiran dalam kawasan penempatan atau taman perumahan sama dibenarkan dengan mengawal kunjungan tetamu supaya tidak terlalu ramai.

“Aktiviti ziarah Aidilfitri antara daerah dengan daerah tidak digalakkan kerana ia membabitkan jarak jauh. Ziarah yang terbaik adalah dalam satu taman kerana kita pasti mengetahui status jangkitan COVID-19 di kawasan taman terbabit.

“Kita bimbang ziarah rentas daerah boleh mengundang penularan jangkitan wabak COVID-19 kerana kita tidak tahu tahap atau status kesihatan individu yang datang berkunjung rumah.

“Kali ini masyarakat perlu menerima hakikat bahawa sambutan Aidilfitri tidak semeriah sebelum ini kerana kita sedang berdepan dengan wabak yang belum selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita selepas melakukan Pemantauan Pematuhan SOP PKPB membabitkan beberapa premis perniagaan dan pusat beli-belah di sekitar bandar Kuantan, semalam.

Mengenai pemantauan pematuhan SOP PKPB di premis perniagaan, Mohd Noor berkata, pihak pengurusan pusat beli-belah dan premis perniagaan mematuhi garis panduan yang ditetapkan Kerajaan Pahang.

Sumber : Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here