Gambar Hiasan

SANDAKAN: Cubaan seorang lelaki tempatan melepasi sekatan jalan raya di Batu 30, dekat sini dengan memberi alasan untuk mengambil bekalan kelapa, gagal apabila polis menemukan lebih satu kilogram dadah jenis syabu bernilai RM52,500 dalam kenderaan lelaki itu. 

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Mohd Azhar Hamin berkata dalam sekatan kira-kira 8 malam pada Selasa lepas itu, polis menemui satu bungkusan plastik berwarna merah lut sinar berisi dadah tersebut.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek, yang cuba memasuki daerah Sandakan dengan memandu kenderaan pacuan empat roda, mendapatkan bekalan dadah dari daerah jiran untuk diedarkan di pasaran Sandakan.

“Ujian saringan awal air kencing telah dijalankan dan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya pada sidang akhbar mengenai kes itu di sini hari ini.

Mohd Azhar berkata suspek yang berumur 40an itu kini ditahan reman sehingga 19 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya telah menumpaskan kegiatan jenayah pecah masuk beberapa premis di sekitar Sandakan seperti kedai serbaneka 24 jam, kedai runcit dan rumah ibadat oleh lima lelaki warga asing berumur 21 hingga 46 tahun yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai “Geng Buntal”.

Menurutnya, kegiatan jenayah oleh kumpulan itu dilakukan bulan lepas membabitkan anggaran kerugian RM40,000 dan tiga daripada mereka positif dadah jenis syabu.

Selain itu, Mohd Azhar berkata tiga lelaki tempatan berumur 24 hingga 41 tahun ditangkap pada 6 Mei lepas kerana terlibat dalam kes pecah masuk sebuah pejabat di Taman Tyng, Batu 6, menyebabkan mangsa kerugian RM10,000.

Tiga lelaki itu juga positif dadah jenis syabu, katanya.

Sumber: BERNAMA

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here