SUNGAI PETANI: WANITA yang menjadikan rumahnya sebagai ‘port’ dadah antara 13 yang ditahan dalam operasi dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di sekitar Kuala Muda dekat Sungai Petani semalam.

Wanita berusia 36 tahun itu ditahan dalam Ops Cegah di rumahnya di Kampung Langat Simpor Besar, Tikam Batu.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda Arnida Ishak berkata, wanita tidak bekerja itu ditahan dalam keadaan ‘lalok’ bersama seorang lelaki berusia 46 tahun.

“Mengikut hasil risikan dan soal siasat, ramai individu dilihat keluar masuk ke rumah terbabit dipercayai untuk melepaskan gian menagih dadah.

“Ujian saringan awal mendapati, kedua-dua mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arnida berkata, pihaknya turut membuat serbuan di 10 lokasi lain di sekitar daerah itu dalam operasi bermula 9 pagi hingga 11.45 malam.

Antara lokasi tumpuan adalah Kampung Bagan Belat Tanjung Dawai, Kampung Sungai Badak Gurun, Kampung Batu 8, Jeniang Gurun, Kampung Keduak Bukit Selambau, Flat Paya Nahu 2, Taman Keladi, dan Taman Kempas.

Menurutnya, kesemua yang ditahan itu berusia 23 hingga 51 tahun.

Katanya, tujuh daripada mereka didapati positif methamphetamine dan morfin, manakala enam lagi positif methamphetamine.

“Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998,” katanya.

Sumber: Harian Metro

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here