Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini atas pertuduhan menceroboh masuk ke sebuah rumah kebajikan milik seorang wanita.

R.K.Ramah Krishnan, 38, R.John Banner, 39, S.Kamalanathan, 34, dan E.Raymond, 20, bagaimanapun masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadap mereka di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Mereka didakwa bersama-sama tiga lagi yang masih bebas telah melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki rumah yang digunakan sebagai rumah kebajikan Sweet Care Home milik K.Thanam, 44, di Taman Bidara Selayang, Gombak di sini pada 12.30 tengah malam, 5 Mei lepas.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan, dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

John Banner turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah ke atas anak Thanam, M.Revathi, 25, dengan menyatakan akan mengerat lidah jika banyak cakap pada tempat, masa dan tarikh sama.

Bagi tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh untuk pertuduhan menceroboh manakala RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kesalahan ugutan jenayah.

Peguam Dinesh Muthal yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya menanggung keluarga.

Mahkamah membenarkan ketiga-tiga lelaki itu diikat jamin RM1,000 setiap seorang dengan seorang penjamin bagi pertuduhan menceroboh, manakala John Banner dibenarkan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 2 Julai untuk sebutan semula kes.

Sumber: BERNAMA

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here