KOTA TINGGI, 16 Mei (Bernama) — Kawasan sepanjang pantai Ulu Sedili hingga Sungai Johor di sini, dikesan sebagai titik panas pendaratan pendatang asing tanpa izin (PATI), di negeri ini.

Panglima Medan Barat Tentera Darat Lt Jen Datuk Mohd Nazir Mami berkata, dianggarkan 60 hingga 70 peratus kawasan berkenaan dilihat berpotensi sebagai kawasan pendaratan.

Beliau berkata, menerusi Ops Bersepadu Benteng oleh Tentera Darat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia serta lain-lain agensi penguatkuasaan, kesemua pihak berkenaan sentiasa memperkukuhkan kawalan dan bertanggungjawab memastikan sempadan tanah air tidak dibolosi bermula dari garis sempadan antarabangsa sehingga ke daratan.

“Tujuan (Ops Bersepadu Benteng) kita bukan sahaja untuk menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin tetapi dalam masa sama memastikan tiada penularan kluster baharu COVID-19.

“Menerusi operasi ini, kita akan pastikan tiada yang bolos. Yang lebih penting, kita mahu menghalang sempadan dimasuki kerana selain boleh membawa penularan kepada tahap yang lebih serius, dan dalam masa yang sama untuk mengekang penyeludupan barang terlarang,” katanya kepada pemberita selepas melawat Markas Taktikal Operasi Merpati Satu di Tanjung Sepang di sini, petang semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kawasan titik panas pendaratan PATI di negeri ini.

Turut hadir Panglima Tiga Divisyen Mej Jen Datuk Tengku Mohamad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Markas Wilayah Laut Satu Laksamana Muda Abu Bakar Mohd Ajis serta Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Mohd Nazir berkata, dengan koordinasi dan perkongsian maklumat risikan antara agensi, kawalan sempadan negara dapat diperkuatkan dan dipertahankan.

Sementara itu, Ayob Khan berkata menerusi lawatan dan perbincangan, beliau yakin ketiga-tiga agensi itu dapat menyelaras dan memperkemaskan lagi maklumat risikan untuk memastikan tiada pembolosan PATI.

“Memang kita tidak nafikan memang ada elemen daripada agensi terlibat bersekongkol dengan PATI dan seumpamanya.

“Kita akan ambil tindakan dan tidak akan bertolak ansur. Sebab kita boleh kategorikan mereka sebagai pengkhianat,” katanya yang diminta mengulas terdapat dakwaan pihak berkuasa cuba melindungi tekong.

Sumber– BERNAMA

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here