KULAI, 16 Mei — Umat Islam di Johor boleh membayar zakat fitrah di pejabat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di seluruh daerah di negeri ini, mulai Khamis lepas pada waktu pejabat tanpa janji temu, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Tosrin Jarvanthi.

Beliau berkata sebelum ini mereka yang mahu membayar zakat fitrah perlu membuat janji temu dengan pegawai MAINJ di peringkat daerah dan tiga kaedah diputuskan bagi memudahkan orang ramai membuat bayaran zakat fitrah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

“Selain boleh membayar di pejabat MAINJ daerah, pada masa sama menggerakkan kereta-kereta pejabat MAINJ daerah masuk ke kampung sebagai pejabat MAINJ ‘terbuka’ untuk orang ramai membayar zakat fitrah.

“Kaedah lain juga adalah ketua kampung boleh memanggil pegawai MAINJ daerah masuk ke kampung atau taman perumahan pada satu masa dan tarikh ditetapkan untuk orang ramai membayar fitrah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tosrin berkata buat masa ini, kutipan zakat fitrah oleh amil persendirian masih kekal tidak dibenarkan di negeri ini sepanjang tempoh PKPB dikuatkuasakan.

Dua kadar zakat fitrah ditetapkan di negeri ini iaitu RM7 bagi umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis Super Tempatan manakala RM10 bagi umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras selain Super Tempatan iaitu beras import seperti beras wangi, beras basmathi dan lain-lain.

Sumber– BERNAMA

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here