Gambar Hiasan

BUKIT MERTAJAM: Pemandu kereta Perodua Myvi yang melawan arus dan menyebabkan seorang penunggang motosikal maut manakala seorang lagi cedera pada Jumaat lepas, ditahan semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata pemandu berusia 35 tahun itu ditahan selepas lelaki berkenaan menyerah diri di Balai Polis Trafik Bukit Mertajam di sini, pada pukul 5 petang.

“Pemandu itu mendakwa dia bertindak demikian (memandu melawan arus) kerana menyangka laluan tersebut dua hala dan kini direman sehingga Selasa bagi membantu siasatan kemalangan maut tersebut,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata ujian air kencing dan alkohol ke atas lelaki yang berasal dari Kepala Batas itu mendapati negatif kedua-duanya malah pemandu tersebut turut mendakwa dia tidak mabuk semasa kemalangan tersebut.

Menurut Shafee, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Dalam kemalangan pukul 10.35 pagi Jumaat itu,  Mohamad Hafiz Bakri, 31, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala seorang lagi penunggang motosikal, Lim Kar Tian, 34, cedera parah termasuk patah kaki kiri selepas dirempuh sebuah kereta.

Insiden itu berlaku apabila pemandu kereta Perodua Myvi berwarna putih dipercayai memandu melawan arus dalam keadaan laju dari Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang menuju ke arah Lebuhraya Utara Selatan manakala dua buah motosikal tersebut berada di laluan yang betul.

Sumber: BERNAMA 

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here