KOTA BHARU: Berbaki seminggu menjelang sambutan Aidilfitri, warga Kota Bharu mula membuat persiapan walaupun berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Tinjauan mendapati beberapa pusat beli-belah di sekitar bandar dikunjungi orang ramai namun keadaan masih terkawal.

Pengusaha kedai juga dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti memeriksa suhu pelanggan sebelum memasuki premis, selain pelanggan dilihat mengenakan penutup hidung dan mulut serta mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman selain melakukan penjarakan sosial.

Pengurusan pusat beli-belah juga mengumumkan saranan agar pelanggan melakukan aktiviti membeli barangan dalam tempoh 30 minit bagi mengelakkan kesesakan pada satu-satu masa.

Seorang pengunjung, Noor Sofea Qistina Abdul Rahman, 28, berkata walaupun sambutan Aidilfitri tahun ini berbeza dari tahun sebelumnya susulan wabak COVID-19, namun tidak menghalangnya untuk membuat persiapan.

“Walaupun negara sedang mengalami pandemik COVID-19, bagi saya raya tetap raya memandangkan sambutan Aidilfitri sudah lumrah bagi umat Islam sebagai tanda meraikan kemenangan melaksanakan ibadah puasa dan segala cabaran sepanjang Ramadan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) itu mengakui beliau melakukan persiapan hari raya secara ala kadar sahaja.

“Saya hanya membeli sepasang baju kurung untuk dipakai pada hari raya pertama nanti sebagai langkah berjimat cermat terutamanya dalam tempoh sukar ini berbanding pada tahun sebelum ini iaitu dua hingga tiga pasang,” katanya.

Sementara itu, Azizul Izuan Abdullah, 38, dari Kampung Melor berkata beliau memilih untuk membuat persiapan Aidilfitri lebih awal kerana enggan bersesak dengan orang ramai di pusat beli-belah jika membuat persiapan pada saat-saat akhir.

“Memandangkan Aidilfitri nanti akan disambut dalam tempoh pelaksanaan PKPB, saya sekeluarga hanya membuat persiapan dengan membeli sepasang sahaja baju untuk dua anak dan isteri saya selain pilihan yang ada juga agak terhad.

“Malah, pelanggan juga tidak dibenarkan untuk mencuba pakaian terlebih dahulu menyebabkan saya sekeluarga hanya membeli apa yang ada,” katanya.

Pengusaha Huzaifah Cookies, Juwairiah Mohd Isa, 23, berkata walaupun dalam tempoh pelaksanaan PKPB namun beliau bersyukur jualan biskut raya miliknya laris dijual sehingga mencecah lebih 5,000 bekas sehari yang menjadi pilihan pemborong dan peruncit biskut raya di negeri ini termasuk dari luar Kelantan.

“Orang ramai mula membanjiri kedai saya sejak dua minggu lalu bagi mendapatkan bekalan lebih 30 jenis pelbagai biskut raya yang dijual pada harga RM10 sebekas untuk dinikmati pada sambutan Aidilfitri nanti, dan kebiasaannya biskut tart nanas menjadi pilihan utama pelanggan.

“Malah, bagi mengikuti saranan Kementerian Kesihatan (KKM) saya hanya mengehadkan pelanggan tidak melebihi 10 orang pada satu-satu masa bagi mengelakkan kesesakan di dalam kedai,” katanya yang turut mempunyai sebuah cawangan lain di Terengganu.

Sementara itu, Pengurus butik pakaian wanita ByZubeeda Collection Tuan Nur Amirah Tuan Abdul Halim, 27, berkata beliau mengakui perniagaannya sedikit terjejas sejak PKP kerana tidak dapat beroperasi seperti sediakala.

Namun, apabila kelonggaran diberikan kepada peniaga dalam tempoh PKPB beliau kini mampu menarik nafas lega memandangkan hasil jualan pakaian di butiknya mampu mencecah sehingga RM1,000 setiap hari apabila orang ramai mula melakukan persiapan Aidilfitri.

Sumber: BERNAMA

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here