KUALA LUMPUR, 18 Mei — Hari ini, menjadi trend apabila satu kumpulan melalui medium aplikasi WhatsApp dibentuk bertujuan untuk memudahkan pembacaan khatam al-Quran dengan kadar segera.

Biasanya, satu kumpulan aplikasi WhatsApp terdiri daripada beberapa individu akan membahagikan 30 juzuk al-Quran untuk dibaca secara bergilir-gilir dan bersendirian di tempat tinggal masing-masing.

Situasi ini lebih terserlah pada bulan Ramadan sebagai tanda meraikan bulan al-Quran, sekali gus menggalakkan sahabat handai dan kenalan agar lebih rajin membaca kitab suci tersebut.

Bagaimanapun, adakah kaedah ini boleh dianggap bertadarus dan dikira sebagai khatam al-Quran seterusnya memperoleh fadilatnya?

Mengulas lanjut, Ketua Penolong Pengarah Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Dr Amru Alhaz Adnan berkata khatam bererti menutup maka khatam al-Quran bermaksud menghabiskan bacaan al-Quran 30 juzuk sama ada secara bacaan atau melalui hafazan.

“Seseorang itu hanya diiktibar khatam al-Quran apabila berjaya menghabiskan bacaan 30 juzuk secara penuh (iaitu dari juzuk 1 hingga juzuk 30) atau mendengar bacaan 30 juzuk secara bertadarus iaitu saling memperdengarkan bacaan masing-masing sesama ahli tadarus.

“Sekiranya membaca bahagiannya atau juzuk tertentu sahaja, dan tidak pula membaca atau mendengar bacaan daripada juzuk-juzuk berbaki maka hal itu tidak dianggap sebagai khatam al-Quran,” katanya kepada Bernama

Bagaimanapun, kata Amru Alhaz, tiada halangan untuk membahagi-bahagikan juzuk al-Quran sama ada satu juzuk seorang atau selainnya sebagai usaha menggalakkan masyarakat agar memperbanyak bacaan al-Quran dengan pelbagai cara dan kaifiat.

“Saranan saya, bertadarus ini fokus kita bukanlah semata-mata untuk khatam al-Quran tetapi lebih kepada memperbaiki bacaan. Kita lantik ketua yang boleh membimbing bacaan setiap ahlinya antara satu sama lain,” katanya.

Malah, katanya, pembaca seharusnya memfokuskan kepada kualiti bacaan dengan meraikan hukum tajwid dan tadabbur iaitu memahami dan menghayati makna al-Quran itu sendiri.

“Sebenarnya, adalah mudah untuk kita khatam al-Quran sekiranya kita bijak menyusun jadual dan istiqamah. Dalam sehari, amalkan membaca empat muka surat al-Quran bersamaan satu juzuk setiap kali selepas solat fardu. Tapi, jika rasa tidak mampu, bacalah setakat mana yang boleh, asalkan ia dilazimi,” kata Amru Alhaz.

Turut senada, pendakwah Syed Shahridzan Syed Mohamed yang berpendapat kaedah membahagi-bahagikan juzuk al-Quran boleh dianggap sebagai satu bentuk kempen menggalakkan orang ramai membaca al-Quran.

“Biasanya, kita apabila sudah terikat dengan janji atau ikrar, contohnya kita dah ikrar di kumpulan WhatsApp, kita akan habiskan juzuk tertentu, jadi sekiranya tidak dihabiskan akan timbul rasa bersalah. Maknanya, mahu atau tidak, kita kena baca juga, jadi hakikatnya kaedah ini bagus agar orang ramai membudayakan bacaan al-Quran kerana ia adalah amalan yang sangat dituntut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan orang ramai merebut peluang yang ada kerana Allah SWT menjanjikan pelbagai ganjaran dan darjat yang tinggi.

Penceramah terkenal, Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim pula menyifatkan penggunaan teknologi moden menyebabkan manusia kadang-kadang tersilap dalam memahami konsep membaca al-Quran yang sebenar.

Menurutnya, membaca al-Quran mengikut pembahagian juzuk seperti yang ditetapkan menerusi kumpulan WhatsApp tidak akan mencapai kepada khatam yang sebenar.

“Khatam yang sebenar adalah apabila kita membaca dari surah al-Fatihah dan berakhir dengan surah An-Nas tanpa meninggalkan satu surah atau juzuk.

“Jika hanya membaca surah atau juzuk tertentu seperti yang ditetapkan dalam kumpulan WhatsApp seterusnya mereka mendakwa telah khatam, ini dipanggil khatam cara mudah atau khatam moden,” katanya.

Namun begitu, Mohd Izhar Ariff tidak menolak kaedah itu adalah cara terbaik dalam memberi galakan kepada orang ramai untuk terus membaca al-Quran.

“Ya, kita memang menggalakkan untuk orang ramai menyertainya. Maksudnya, cuba gabungkan dua perkara iaitu walaupun kita telah ditetapkan juzuk mengikut agihan dari kumpulan WhatsApp tetapi pada masa sama kita juga membaca al-Quran dari awal hingga akhir tanpa meninggalkan mana-mana surah agar kita mendapat khatam yang sebenar,” katanya.

Sumber– BERNAMA

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here