TUN Dr Mahathir Mohamad mendakwa sidang Dewan Rakyat sepatutnya boleh diadakan untuk tempoh yang lebih lama bukan hanya selama dua jam seperti hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, berdasarkan langkah pencegahan Covid-19 yang dilaksanakan di Dewan Rakyat hari ini, sepatutnya tidak ada masalah untuk sidang berlangsung lebih lama seperti yang dilaksanakan beberapa negeri pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun).

“Kalau mahu berbahas, tak dibenarkan sebab masalah pandemik. Sekarang ini semua orang sudah bebas membeli-belah dan makan (di kedai) tapi dalam Dewan (tidak dibenarkan).

“Kita bukan mahu apa, kita cuma mahu duduk di kerusi kita tapi tidak dibenarkan satu hari pun, cuma beberapa jam saja. Sepatutnya tidak ada masalah untuk lapan hari dengan cara yang dibuat pada hari ini.

114 ahli Parlimen duduk di kerusi kerajaan

“Kami tidak dapat terima alasan kononnya (tidak boleh bersidang) kerana pandemik selama dua jam saja, sedangkan Sabah boleh bermesyuarat (sidang Dun) selama tiga hari,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Pada majlis perasmian mesyuarat pertama, penggal ketiga, Parlimen Ke-14 hari ini, Dewan Rakyat tidak bersidang selepas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Perkara itu diputuskan kerajaan susulan penularan Covid-19 dalam negara yang masih belum reda sepenuhnya.

Tun M kini duduk di blok pembangkang | Harian Metro

Sebelum ini, kerajaan memaklumkan, terdapat tiga usul akan dibawa pada persidangan Isnin ini, iaitu Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2019 dan 2020, usul pelantikan ketua pembangkang dan pelantikan jawatankuasa pilihan serta pengerusi dan naib pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Ahli Parlimen Langkawi itu juga mengucapkan tahniah kepada pengurusan Parlimen kerana majlis perasmian pagi tadi dapat dilaksanakan penuh tertib ketika negara sedang berdepan Covid-19.

“Sebelum masuk, kita diperiksa suhu badan, perlu membasuh tangan sebanyak dua kali sebelum masuk ke Dewan. Kita juga duduk selang satu kerusi antara satu sama lain, cukup tertib,” katanya.

Sumber: Harian Metro

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here