Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah -foto dari BERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, orang ramai yang masih berdegil membawa anak kecil ke tempat awam tanpa urusan penting berkemungkinan berhadapan tindakan penguatkuasaan.

Jelasnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengadakan perbincangan esok berhubung perlaksanaan penguatkuasaan terhadap mereka yang masih berdegil.

Setakat ini, masih gunakan kaedah lembut

Setakat ini, KKM dan MKN masih menggunakan pendekatan lembut dengan menasihati ibu bapa terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil.

“Sekarang ini kita (bersama MKN) akan berbincang bagaimana kita dapat menguatkuasakan (tindakan) iaitu mengambil tindakan kepada ibu bapa yang membawa kanak-kanak ke tempat awam dan hospital tanpa ada temujanji,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham menjawab soalan pemberita sama ada KKM akan mengeluarkan sebarang arahan berhubung tindakan ibu bapa yang membawa anak pergi ke tempat awam tanpa urusan penting sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini. 

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, pematuhan SOP masih perlu dipertingkatkan walaupun kes positif jangkitan COVID-19 sepanjang tempoh dua minggu pelaksanaan PKPB ini kekal mencatatkan dua angka, setakat ini.

Beliau berkata, pematuhan SOP seluruh rakyat penting sebelum pelaksanaan ‘exit strategy’ dipertimbangkan, jika tidak PKPB berkemungkinan dilanjutkan.

“Sekarang ini kita bukan bincang pasal ‘exit strategy’, kita hanya beri kelonggaran iaitu PKPB”

“Kalau patuh dan mencatatkan (kes positif) dua angka, mungkin kita akan pertimbangkan sama ada kita perlu ‘exit strategy’,” katanya.

Daripada jumlah pergerakan merentas negeri setiap hari, didapati masih ramai, iaitu sebanyak 2,931 kenderaan yang cuba merentasi negeri untuk menyambut perayaan bersama keluarga.

KKM pertimbang penguatkuasaan larang bawa anak keluar
Kredit: BERNAMA

“Ini sememangnya merisaukan, terutama jika dicampur pula dengan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT yang telah pulang ke keluarga masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, ia berikutan mereka mungkin mempunyai ahli keluarga yang terdiri daripada kumpulan berisiko seperti warga emas, kanak-kanak serta golongan rendah imuniti disebabkan pelbagai penyakit kronik atau komorbiditi lain.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Universiti Kebangsaan Malaysia yang menyambut ulang tahun jubli emas ke-50 hari ini.

“Sebagai graduan UKM saya berdoa agar UKM akan terus melahirkan graduan-graduan yang cemerlang dan berdaya saing dengan motonya ‘Mengilham Harapan Mencipta Masa Depan”,” katanya.

Sumber: BERNAMA

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here