KUALA TERENGGANU: Umat Islam di negeri ini tidak digalakkan untuk menziarahi tanah perkuburan pada sambutan Aidilfitri minggu depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, berkata hal itu diputuskan bagi mengelak berlakunya perhimpunan.

Jelasnya, walaupun Majlis Keselamatan Negara (MKN) belum membuat keputusan melarang lawatan atau menziarahi tanah perkuburan, tetapi kerajaan negeri mengambil pendekatan itu bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

“Kerajaan melarang sebarang bentuk pertemuan atau perhimpunan diadakan di semua lokasi terutama di kawasan tanah perkuburan bagi mengelakkan berlaku pelanggaran peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti ditetapkan kerajaan.

“Jika berlaku perhimpunan terutama ketika menziarahi tanah perkuburan pada musim perayaan, pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh pelaksanaan PKPB mungkin tidak dapat dielakkan,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Bukit Payong meminta semua umat Islam supaya menangguhkan menziarahi tanah perkuburan sehingga tamat PKPB atau apabila situasi negara kembali pulih daripada COVID-19.

“Dalam situasi sekarang, kita mohon kepada orang ramai supaya tidak memilih Hari Raya Aidilfitri untuk mengunjungi tanah perkuburan secara beramai-ramai, tambahan pula keadaan sekarang masih belum pulih sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Mufti negeri, Ahadi Othman menjelaskan berdasarkan hukum syarak, amalan ziarah kubur adalah sunat dan boleh dilakukan tanpa terikat pada Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha.

Jelasnya, ziarah tanah perkuburan tiada kaitan dan tidak khusus pada hari raya sahaja.

Sumber : Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here