PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali memasuki pejabat, hari ini selesai menjalani kuarantin selama 14 hari sejak 22 Mei lalu.

Beliau memulakan tugas hari ini dengan mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah bagi sesi pra-kabinet menerusi persidangan video.

Perdana Menteri kemudiannya mempengerusikan mesyuarat kabinet yang dihadiri semua anggota jemaah menteri.

Ia diadakan secara persidangan video yang mana menteri kabinet berada di dua bilik mesyuarat berasingan di bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Langkah yang julung kali diadakan ini adalah bagi menjamin amalan penjarakan sosial dan penjagaan kesihatan yang ketat dapat dilaksanakan pada setiap masa.

Perdana Menteri menjalani perintah kuarantin bermula 22 Mei lepas, selepas seorang daripada pegawai yang hadir pada mesyuarat pasca-Kabinet di pejabat Perdana Menteri disahkan positif Covid-19.

Sepanjang tempoh itu, beliau menjalankan tugas rasmi dengan cara bekerja dari rumah.

Selasa lalu, Muhyiddin sekali lagi menjalani ujian saringan Covid-19 dan disahkan negatif.

Sumber: Harian Metro, Fb Muhyiddin Yassin

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here