SEBANYAK 84 masjid di Pahang kini dibenarkan untuk menunaikan solat Subuh berjemaah dan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 5 Jun lalu.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah berkata, pelaksanaan itu diperkenan oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurutnya, 84 masjid yang dibenarkan untuk melaksanakan solat Subuh berjemaah dan solat Jumaat membabitkan 71 masjid kariah dan 13 masjid daerah (kategori B).

“Masjid daerah terbabit adalah Masjid Al-Hidayah Permatang Badak, Masjid Al-Makmur Batu 10 (Kuantan), Masjid At-Taqwa, Masjid Padang Polo (Pekan) dan Masjid Abu Bakar Temerloh.

“Masjid Abu Bakar Mentakab, Masjid Tengku Ahmad, Jerantut, Masjid Jamek Bandar Triang, Bera, Masjid Tengku Sulaiman Ketari, Masjid Jamek Bandar Karak (Bentong), Masjid Bukit Fraser, Raub, Masjid Benta, Lipis dan Masjid Baru Bandar Tun Abdul Razak, Jengka,” katanya dalam satu kenyataan di Kuantan, semalam.

Tengku Amir Nasser berkata, 71 masjid kariah pula adalah tujuh di daerah Kuantan, Pekan (5), Rompin (6), Maran (5), Temerloh (5), Bera (5), Jerantut (5), Bentong (5), Raub (5), Lipis (6), Cameron Highlands (2), Muadzam Shah (5), Chenor (5) dan Jengka (5).

Tambahnya, mereka yang datang ke masjid perlu sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan seperti membawa sejadah, menggunakan pelitup muka, melakukan ujian suhu dan mencuci tangan dengan pembasmi kuman (hand sanitizer) setiap kali sebelum masuk ke dalam masjid.

Sementara itu tinjauan dibeberapa masjid mendapati penduduk sudah mula pergi ke masjid untuk menunaikan solat Subuh berjemaah walaupun jumlah tidak ramai berbanding sebelum ini.

Rata-rata jemaah yang ditemui bersyukur apabila berpeluang datang ke masjid semula selepas hampir dua bulan tidak dapat berbuat demikian.

Sumber : Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here