PEKAN, 20 Jun — Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas. 

Ia melibatkan pertandingan antara Mohd Sharim Md Zain, 41, yang mewakili BN, dan ahli perniagaan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan aktivis masyarakat Mohd Shukri Mohd Ramli, 49 tahun.

Pengumuman senarai calon yang bertanding dibuat oleh pegawai pengurus pilihan raya, Datuk Zaliza Zulkipli kira-kira 10.30 pagi, selepas proses penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan dekat sini ditutup pukul 10 pagi. 

“Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan itu dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati dan memutuskan tiada calon yang ditolak pencalonan,” katanya ketika mengumumkan nama-nama calon. 

Tengku Zainul Hisham yang menggunakan simbol rumah menjadi individu pertama mengemukakan borang pencalonan tepat pukul 9.00 pagi. 

Mohd Sharim, generasi kedua Felda Chini, yang juga Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan, menjadi individu kedua mengemukakan borang pencalonan pada 9.01 pagi bagi mempertahankan kerusi DUN BN itu. 

Bagi mengambil semangat Muafakat Nasional antara UMNO dan PAS, pencalonan Mohd Sharim disokong Timbalan Yang Dipertua PAS Pekan, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim, yang juga calon PAS yang tewas bertanding di kerusi itu kepada calon BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lepas. 

Mohd Shukri, yang juga seorang penulis blog, menggunakan simbol kunci dan mengemukakan borang pencalonan pada 9.04 pagi. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga menetapkan 30 Jun sebagai tarikh pengundian awal. 

PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 6 Mei lepas di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung.

Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak PRU-11 pada 2004. 

Pada PRU-14, Abu Bakar menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan Mohd Fadhil Noor (PAS) yang mendapat 5,405 undi manakala Mohamad Razali Ithnain dari PKR sekadar memperoleh 1,065 undi. 

Sumber– BERNAMA 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here