SEREMBAN, 21 Jun  — Anak kepada pelakon dan pelawak Amran Aman Ramlie atau lebih dikenali Amran Tompel, meluahkan rasa terharu apabila ramai pihak prihatin dengan keadaan bapanya yang kini terlantar akibat angin ahmar.

Shafiq Amran, 26, yang merupakan anak kedua daripada empat beradik berkata pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan rakan-rakan artis termasuk saudara-mara, hadir menziarahi bapanya serta memberikan bantuan dalam bentuk barangan keperluan harian dan juga wang tunai.

“Sehingga kini bantuan diterima secara berterusan daripada pelbagai pihak. Saya berasa bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri, Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (PBMalNS MAINS), saudara-mara, rakan-rakan artis, persatuan dan masyarakat setempat kerana banyak membantu dan prihatin dengan keadaan ayah,” katanya.

Shafiq ditemui ketika program sumbangan dan ziarah Amran Tompel bersama Anggota Dewan Undangan Negeri Paroi Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani dan penyanyi terkenal, Datuk Awie di kediamannya di sini, hari ini.

Berkongsi kisah menjaga dan menguruskan bapanya, Shafiq berkata bapanya ketika ini memang sukar menguruskan diri kerana hanya terlantar di atas katil dan perlu disuap makan serta tidak boleh memakan makanan berat.

“Ayah tidak boleh uruskan dirinya sendiri dan seorang daripada kami (adik-beradik) akan membantu uruskan ayah. Ayah boleh bangun tetapi kena dukung dan papah untuk mandikan ayah,” katanya.

Tambahnya keadaan bapanya yang terlantar sakit bermula sejak 2015 selepas diserang angin ahmar sehingga menyebabkan kakinya tidak dapat digerakkan, namun kemudian pulih tetapi ketika Perintah Kawalan Pergerakan pada bulan Mac lepas, bapanya sekali lagi diserang angin ahmar dan kembali terlantar.

Sementara itu, Vokalis kumpulan Wings, Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman berkata sebagai Presiden Kelab Permotoran Wings Motor Gang Society (WMGS), beliau bersama WMGS dengan kelab peminat Sayap Sayap Wings bekerjasama mengumpul dana bagi membantu golongan artis yang uzur dan kurang berkemampuan.

“Kita sepakat melakukan ziarah Syawal ini dan ia memang satu kewajiban kelab untuk mengeratkan silaturahim dan memastikan kebajikan dilakukan itu tidak akan putus,” katanya yang turut menyampaikan sumbangan berupa wang dan barangan keperluan untuk Amran Tompel.

Dalam pada itu, Taufek berkata usaha dilakukan Awie ini dapat menjadi contoh kepada persatuan dan masyarakat lain.

“Ini sebagai suatu bukti bahawa Amran Tompel tidak bersendirian kerana ramai pihak yang tampil membantu… saya percaya bantuan ini bukanlah yang pertama dan bukan juga yang terakhir,” katanya.

Sumber– BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here