Lima kakitangan Kementerian Kewangan (MoF) dan empat orang awam diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan reman bagi kes menguruskan pendaftaran akaun ePerolehan kementerian berkenaan tanpa mengikut prosedur dan syarat ditetapkan di Mahkamah Majistret Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 17 JULAI 2020.
Lima kakitangan Kementerian Kewangan (MoF) dan empat orang awam diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan reman bagi kes menguruskan pendaftaran akaun ePerolehan kementerian berkenaan tanpa mengikut prosedur dan syarat ditetapkan di Mahkamah Majistret Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 17 JULAI 2020.

PUTRAJAYA: Siap dalam 24 jam.

Itu jaminan sindiket yang turut dianggotai beberapa kakitangan Kementerian Kewangan (MoF) bagi menguruskan pendaftaran akaun ePerolehan bersama status Bumiputera tanpa mengikut prosedur dan syarat ditetapkan.

Caj yang dikenakan hanya kira-kira RM500 untuk setiap permohonan menambah tarikan kerana syarikat boleh memperoleh kelulusan dengan cepat walaupun kos untuk permohonan menerusi proses biasa adalah lebih rendah.

Permohonan melalui prosedur biasa difahamkan mengambil tempoh yang lama, boleh mencecah tiga bulan disebabkan perlu mematuhi prosedur yang rapi seperti pengesahan dokumen syarikat oleh MoF.

Akaun ePerolehan adalah sistem perolehan elektronik membolehkan pembekal berdaftar dengan MoF menawarkan produk dan perkhidmatan kepada kerajaan secara dalam talian. Ia juga pilihan untuk pembekal mendaftar dan memperbaharui Sijil MoF.

Sumber memberitahu BH, modus operandi sindiket ialah dengan menugaskan sekumpulan individu di luar MoF sebagai runner bagi mencari dan menyelesaikan segala urusan dengan pelanggan sebelum permohonan dibuat.

“Syarikat pelanggan biasanya tidak berurusan dengan kakitangan MoF terbabit, tetapi segala urusan diselesaikan runner yang dikenali kakitangan berkenaan.

“Jika mengikut proses biasa, tidak mungkin memperoleh kelulusan cepat mahupun dalam tempoh 24 jam, tetapi melalui sindiket ini, permohonan bukan sahaja dijamin lulus, tetapi juga cepat.

“Syarikat yang mahu membida tender kerajaan perlu mempunyai akaun ePerolehan selepas diberikan nombor pengenalan atau ID.

“Bagaimanapun, ada syarikat menggunakan jalan pintas dengan mendapatkan bantuan sindiket ini untuk memperoleh akaun dan ID terbabit,” katanya.

Jumaat lalu, sembilan individu termasuk lima kakitangan MoF direman enam hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut Sekyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.

Yang turut direman bersama tiga penjawat awam wanita dan dua lelaki itu adalah empat orang awam yang dipercayai runner atau orang tengah.

Terdahulu, BH melaporkan lima kakitangan MoF ditahan SPRM sekitar ibu negara dan Putrajaya untuk membantu siasatan kes menguruskan pendaftaran akaun ePerolehan kementerian berkenaan tanpa mengikut prosedur dan syarat.

Sindiket itu dipercayai menjalankan aktiviti sejak 2017 dan dikatakan sudah mengaut hasil ratusan ribu ringgit daripada pelbagai syarikat di sekitar Lembah Klang, termasuk yang dipercayai bukan milik Bumiputera.

Sumber:Berita harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here