BEIJING: China merekodkan 61 kes baharu COVID-19 pada Isnin, jumlah harian tertinggi sejak April, sekali gus mencetuskan kebimbangan berlakunya gelombang baharu pandemik.

Republik itu merekodkan kes baharu tertinggi pada 14 April lalu dengan 89 kes yang kebanyakannya membabitkan kes import.

Menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, 57 kes tempatan baharu ditemui di barat laut wilayah Xinjiang, di mana pandemik itu muncul di ibu kota wilayah Urumqi pertengahan bulan ini.

Sebanyak 14 kes tempatan direkodkan di timur laut wilayah Liaoning di mana kluster baharu muncul di bandar Dalian minggu lalu.

Dua lagi kes tempatan ditemui di wilayah Jilin, berhampiran sempadan Korea Utara, yang pertama seumpamanya sejak Mei, manakala baki empat kes membabitkan kes import.

Pihak berkuasa China mengadakan ujian saringan besar-besaran kepada ratusan ribu rakyatnya di Dalian, diikuti penduduk di Urumqi.

Lebih 2.3 juta penduduk di bandar yang berkepadatan 3.5 juta orang itu menjalani ujian saringan COVID-19.

Penduduk di Dalian dan Urumqi kini diletakkan dalam perintah berkurung dengan pihak berkuasa mengisytiharkan ‘mod perang’ bagi membendung penularan virus. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here