KUALA LUMPUR: Polis menggunakan pembesar suara bagi meminta penyokong Datuk Seri Najib Razak yang berada di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang penularan COVID-19.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah, berkata amaran itu dikeluarkan dari semasa ke semasa bagi mengingatkan individu terbabit mengenai amalan SOP berkenaan.

“Semua kena tanamkan sifat ‘kita jaga kita’. Mereka kena patuhi SOP seperti pakai pelitup muka dan penjarakan sosial.

“Kita akan pantau situasi terkini dan mengingatkan orang awam mengenai SOP itu dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui media di lobi kompleks mahkamah, hari ini.

Kompleks Mahkamah di sini menjadi tumpuan orang ramai khususnya penyokong Najib susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan membuat keputusan mengenai tiga pertuduhan dihadapi bekas Perdana Menteri berhubung dana SRC International Sdn Bhd.

Najib didakwa mendapatkan suapan RM42 juta apabila terbabit dalam keputusan bagi pihak kerajaan, dalam memberikan jaminan terhadap pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan kepada SRC International.

Shanmugamoorthy Chinniah berkata, polis akan memantau perkembangan semasa kehadiran orang awam di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini dan memberi amaran supaya mereka sentiasa mematuhi SOP.

Sumber: Berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here