PERSOALAN mengenai Rang Undang-Undang (RUU) 355 sekali lagi dibangkitkan dalam Dewan Rakyat pada 22 Julai lalu. Dalam soalan lisan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) mengenai statusnya, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, memaklumkan ia memerlukan pertimbangan dan penelitian menyeluruh agar tidak bercanggah dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagi mengimbau kembali RUU 355 ini, cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) (Akta 355) diusulkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) di Persidangan Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 dengan mencadangkan hukuman mengikut hukum syarak kecuali hukuman mati dan kemudian ditangguhkan ke sidang Dewan Rakyat berikutnya.

Pada 24 November 2016 pula, Ahli Parlimen Marang itu mengemukakan pindaan kepada usul pertama dibuat pada 26 Mei dengan mencadangkan hukuman denda RM100,000, penjara 30 tahun dan sebat 100 kali serta pindaan usul itu ditangguhkan.

Pada 6 Mei 2017 pula, usul itu dicadangkan semula dengan lebih mendalam Ahli Parlimen Marang dan diperjelaskan oleh Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) tetapi tidak dibahaskan kerana Dewan Rakyat menangguhkan usul berkenaan untuk dibahaskan ke persidangan berikutnya. Hingga kini RUU 355 belum dibahaskan.

Perlu dinyatakan tujuan RUU 355 dibuat adalah untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang terhad, iaitu denda RM5,000 sahaja atau tiga tahun penjara atau/dan sebat enam kali kepada bidang kuasa lebih mengikut Syariah kecuali hukuman bunuh.

Dalam perbincangan akademik, cadangan meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah banyak diperbahaskan dalam wacana dan seminar, bahkan juga dalam penulisan. Sebagai contohnya, Allahyarham Prof Dr Ahmad Ibrahim ketika hayatnya menyuarakan perkara sama.

Apakah RUU 355 ini bercanggah dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan? Bagi menjawab persoalan ini, kita perlu meneliti peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bidang kuasa jenayah Islam yang begitu terhad, yang hanya meliputi enam kategori.

Ia membabitkan kesalahan matrimoni seperti menganiayai isteri dan tidak taat kepada suami; berhubung seks (zina, khalwat, sumbang dan melacur) serta kesalahan berhubung minuman keras (menjual dan membeli arak).

Selain itu, kesalahan berhubung aspek kerohanian sebagai seorang Islam seperti gagal menunaikan solat Jumaat bagi lelaki, enggan bayar zakat dan fitrah serta dan tidak menghormati bulan Ramadan dengan tidak berpuasa; kesalahan berhubung pertukaran agama (tidak melaporkan dan mendaftar masuk atau keluar daripada agama Islam) serta pelbagai kesalahan lain yang tidak termasuk dalam kategori berkenaan.

Bagi kesalahan jenayah umum lain seperti mencuri, merompak, merogol dan membunuh, peruntukan bagi keseksaan boleh didapati dalam Kanun Keseksaan dan bidang kuasa mahkamah dianugerahkan kepada Mahkamah Sivil. Kesalahan ini sudah disenaraikan di bawah Jadual Kesembilan, Senarai I – Senarai Persekutuan.

Justeru, Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak boleh membuat undang-undang tersenarai di bawah Senarai Persekutuan kecuali Senarai Bersama. Ini dapat dilihat apabila berlaku pertikaian dalam kes liwat. Ini kerana terdapat dua peruntukan bertindih dalam kesalahan liwat. Kesalahan liwat diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan dan Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.

Dalam membincangkan pelaksanaan undang-undang jenayah syariah di negara ini, ia mesti meliputi undang-undang hudud, qisas (termasuk diyat) dan takzir. Undang-undang jenayah Islam bukan sekadar hudud sahaja.

Dalam RUU 355 itu, cadangan meningkatkan hukuman jenayah syariah tidak boleh terkeluar daripada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Memandangkan sebahagian kesalahan terletak di bawah hukuman hudud dan qisas terdapat dalam Kanun Keseksaan seperti membunuh, mencuri serta mencederakan tubuh badan, Mahkamah Syariah tidak diberi bidang kuasa untuk menjatuhkan hukuman bunuh, potong tangan pencuri dan menghukum pesalah mencederakan orang lain kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil.

Dalam kesalahan hudud seperti zina bagi orang muhsan (berkahwin) yang dihukum dengan hukuman rejam hingga mati, Mahkamah Syariah tidak boleh melaksanakan hukuman ini kerana mengambil bidang kuasa Mahkamah Sivil.

Maka, Mahkamah Syariah hanya boleh menjatuhkan hukuman 100 kali sebatan sahaja yang dibenarkan ke atas penzina sama ada muhsan atau ghair muhsan sekiranya RUU 355 diluluskan. Malah Parlimen bagi Wilayah Persekutuan perlu meminda Akta Jenayah Syariah dan DUN bagi negeri-negeri perlu meminda Enakmen Jenayah Syariah bagi meningkatkan bidang kuasa diberi dalam Akta 355 setelah diluluskan di Parlimen.

Dalam konteks undang-undang jenayah Islam yang sedang terpakai di negara ini, kebanyakan kesalahan hudud sudah termaktub dalam undang-undang jenayah syariah di negeri. Cuma, hukuman dikenakan bersifat takzir kerana itu sahaja bidang kuasa diberikan dalam undang-undang. Dari segi beban pembuktian, ia mengguna pakai kriteria seperti dalam undang-undang hudud.

Melihat keadaan semasa dan mengambil kira kekangan Perlembagaan Persekutuan, Kanun Keseksaan, politik semasa dan kemajmukan masyarakat Malaysia, undang-undang jenayah Syariah hanya boleh dilaksanakan ke atas orang Islam serta di Mahkamah Syariah.

Bagi memungkinkan RUU 355 menjadi kenyataan, pindaan Perlembagaan dan undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan dan Undang-undang Jenayah Syariah di negeri yang membabitkan bidang kuasa persekutuan dan negeri perlu dihalusi.

Di samping bidang kuasa dalam perkara sivil, Parlimen melalui Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kesalahan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Jadual Kesembilan, Butiran 1, Senarai II – Senarai Negeri, menganugerahkan bidang kuasa jenayah Syariah hanya ke atas orang Islam dan hanya terhad kepada kesalahan dilakukan orang Islam yang bertentangan dengan ajaran Islam dan mengadakan hukuman terhadap kesalahan berkenaan.

Hasrat RUU 355 adalah untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah seluruh negara yang sekian lama ‘dianakitirikan.’

RUU 355 tidak mengambil bidang kuasa Mahkamah Sivil mahupun hak orang bukan Islam. RUU 355 tidak memungkinkan undang-undang jenayah syariah dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana ia masih tertakluk peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Keseksaan kecuali dipinda Parlimen.

Penulis adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Tinggi Islam (IAIS) Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here