DALAM kemeriahan dan kegembiraan menyambut Aidiladha yang bakal menjelang Jumaat ini tanpa disedari pemakan daging berdepan risiko mengalami masalah kesihatan serius termasuk keguguran buat ibu hamil dan demam yang berulang.

Umum mengetahui disebabkan kekurangan bekalan daging tempatan, lembu atau kerbau diimport dari negara luar termasuk Thailand.

Malangnya demi mengaut keuntungan mudah, ada sindiket dan penyeludup mengambil kesempatan menyeludup haiwan berkenaan yang dikhuatiri bakal membawa pelbagai penyakit jika tidak menjalani proses kuarantin dikendali Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Antara penyakit itu ialah tuberkulosis atau batuk kronik dan brucellosis yang boleh menyebabkan masalah kesihatan buat ibu hamil dan kemandulan buat lelaki manakala penularan wabak lembu gila dan penyakit kaki dan mulut (FMD) boleh menjejaskan industri haiwan tempatan.

Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Penguatkuasaan Maqis Dr Azhari Sharidan Abu Bakar berkata, dari Januari hingga Disember 2019, sebanyak 359 lembu seludup dirampas pihaknya dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain di sempadan negara membabitkan nilai RM816,800.

“Demi memastikan bekalan daging selamat dimakan pengguna, Maqis tidak berkompromi dengan kegiatan berkenaan dan sentiasa mempertingkatkan kawalan bersama agensi penguatkuasaan di sempadan negara terutama mengetahui permintaan daging bakal meningkat pada Aidiladha ini,” katanya dalam temu bual khas di Ibu Pejabat Maqis di Putrajaya.

Menurutnya, dari Januari hingga Jun ini, pihaknya dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain merampas 44 lembu yang diseludup di seluruh negara membabitkan nilai RM36,000.

“Nilai kompaun yang dikenakan oleh Maqis kepada pengimport yang tidak mematuhi prosedur pengimportan berjumlah RM3,000 manakala hasil sitaan dilucuthakkan dengan lelongan bernilai RM14,053,” katanya.

Ditanya mengenai bahaya penyakit brucellosis, Azhari berkata, ia boleh menyebabkan keguguran buat ibu hamil dan kemandulan.

Brucellosis boleh menyebabkan keguguran dan kemandulan pada ternakan lembu kerbau dan keadaan ini menyebabkan kerugian kepada penternak jika ternakan mereka dijangkiti kuman ini.

Brucellosis adalah penyakit zoonotik yang boleh menjangkiti manusia. Jika manusia dijangkiti, ia boleh menyebabkan demam berulang-ulang, keguguran kandungan, kemandulan selain okitis pada lelaki,” katanya.

Menurutnya, selain itu, penyakit kuku dan mulut (FMD) adalah penyakit yang sangat mudah merebak dan boleh menyebabkan kerugian yang tinggi kepada industri ternakan.

“Jangkitan dalam kalangan ternakan tanpa imuniti boleh menjadi serius dan menyebabkan kematian ternakan. Kejadian penyakit FMD dalam sesebuah negara sering menjejaskan kestabilan ekonomi dan sosial.

“Penyakit lain yang berisiko untuk masuk ke dalam negara sekiranya penyeludupan lembu berleluasa adalah penyakit Tuberculosis (TB).

“Penyakit ini disebabkan bakteria Mycobacterium bovis yang boleh menyebabkan batuk kronik pada ternakan dan manusia, jangkitan boleh merebak dengan meluas dan risiko lebih tinggi kerana amalan menjual susu mentah di pasaran tempatan,” katanya.

Azhari berkata, terdapat lebih 30 penyakit ruminan boleh berlaku sekali gus menyebabkan langkah pencegahan termasuk kuarantin amat penting.

“Ketidakcukupan ternakan tempatan menyebabkan hampir 90 peratus lembu atau kerbau diimport dari luar negara bagi menampung jumlah permintaan. Ia termasuk jumlah lembu yang diseludup terutama ketika musim perayaan Aidiladha.

“Lembu atau kerbau yang dibawa dari luar negara perlu dikuarantin bagi mengenal pasti penyakit bawaannya,”katanya.

Ditanya modus operandi sindiket penyeludupan, Azhari mengesahkan sindiket memulakan kegiatan mereka beberapa minggu sebelum musim perayaan kerana permintaan sangat tinggi ketika itu.

PARAS air di Sungai Golok juga mempengaruhi kegiatan penyeludupan lembu dari Thailand.

“Pada musim Aidiladha, permintaan terhadap daging lembu segar meningkat sehingga 80 peratus daripada biasa menyebabkan peningkatan aktiviti penyeludupan di sempadan negara.

“Kebiasaannya kadar penyeludupan boleh dikatakan berkadar langsung dengan paras Sungai Golok di Kelantan di mana apabila paras sungai tinggi, kadar penyeludupan menurun dan sebaliknya apabila paras rendah, kadar penyeludupan akan meningkat.

“Kegiatan ini lebih tertumpu pada waktu Maghrib sehingga tengah malam. Hasil risikan, beberapa lori akan menunggu di tepi sungai dan ternakan akan dibawa merentasi sungai sebelum dimuatkan ke dalam lori.

“Bagaimanapun, kerjasama rapat antara Maqis dengan agensi penguatkuasa di sempadan banyak membantu untuk penahanan kes penyeludupan,” katanya.

Menurutnya, antara kawasan tumpuan bagi kegiatan penyeludupan lembu adalah di sepanjang sungai dari Pengkalan Kubur hingga ke Bukit Bunga, Jeli, Kelantan.

“Keluasan sungai sepanjang 96 kilometer ini diibaratkan lubuk emas bagi penyeludup di mana aktiviti ini boleh dilakukan dalam sekelip mata sahaja kerana jarak sempadan yang tidak sampai 50 meter antara satu sama lain dengan merentasi Sungai Golok,” katanya.

Beliau berkata, lembu yang diimport akan menjalani proses kuarantin selama 14 hari mengikut prosedur kuarantin diamalkan Maqis.

“Proses kuarantin dilakukan selepas lembu itu melepasi pemeriksaan di sempadan namun pengimport perlu membuat tempahan sesi kuarantin dengan stesen kuarantin Maqis.

“Lembu yang tiba di sempadan akan diperiksa dokumentasi seperti permit import daripada Maqis dan sijil kesihatan veterinar yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa veterinar negara asal dan perlu dilakukan saringan gejala penyakit.

“Jika dikesan berpenyakit, haiwan itu tidak akan dibenarkan masuk ke Malaysia atau dilupuskan.

“Di pusat kuarantin pula, lembu akan diperiksa sekali lagi sebelum dilepaskan. Proses pengambilan darah dilakukan sebelum pemberian vaksin diberikan sepanjang 14 hari tempoh kuarantin,” katanya.

Menurutnya, jika penyakit dikesan masih ada pada haiwan berkenaan, ternakan akan terus dikuarantin dan hanya boleh dilepaskan dengan kawalan sembelihan yang ketat selepas bebas daripada penyakit tertentu.

“Bagaimanapun jika penyakit terus dikesan, lembu berkenaan akan dibawa ke pusat penyembelihan kerajaan atau dimusnahkan di situ.

“Hanya daging boleh diambil manakala organ dalaman khususnya pembiakan akan dibuang,” katanya.

Sumber:Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here